Paul Scholes mengakui bahawa Cristiano Ronaldo kini menjadi satu ‘masalah’ buat Portugal selepas mereka sekadar seri 1-1 dengan DR Congo dalam aksi Piala Dunia 2026 tempoh hari.
Walaupun Joao Neves meletakkan Portugal di depan lebih awal, anak buah Roberto Martinez kemudian dikejutkan dengan jaringan penyamaan Yoane Wissa sebelum gagal mencari gol kemenangan.
Keadaan yang sekali gus meletakkan pemenang lima kali Ballon d’Or itu di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai taktikal pasukan.
Dalam masa sama, legenda Manchester United itu turut mendakwa bekas rakan sepasukannya itu pasti sangat kecewa selepas melihat seteru utamanya, Lionel Messi meledak hatrik ketika Argentina membuka kempen kejohanan dengan kemenangan ke atas Algeria.
Pendapat Jujur Scholes Tentang Cristiano Ronaldo
“Saya fikir ia sukar buat pengurus pasukan,” ujar Scholes menurut sumber laporan Goal.
“Saya pernah melakukan program Stick to Football bersama Roberto Martinez dan saya bertanya kepadanya di luar kamera. Saya tanya, ‘Adakah dia [Cristiano Ronaldo] menjadi masalah buat anda?’ kerana pada pandangan saya, dia sedikit sebanyak memang satu masalah.”
“Pada usia 41 tahun… bagi saya, hanya ada satu posisi di atas padang yang sesuai untuk seseorang berusia 41 tahun memulakan perlawanan, iaitu penjaga gol.”
“Cristiano pasti akan sangat marah kerana Lionel Messi menjaringkan hatrik, Kylian Mbappe pula dua gol. Ia pasti benar-benar ‘menyakitkan’ dia.”
“Saya rasa simpati kepada Martinez kerana dia cuba menerimanya dan dia berkata, ‘Tidak, saya mempunyai penjaring gol terbaik di dunia’, tetapi di dalam hati, dia pasti sedar perkara itu sedang memberi kesan kepada pasukannya.”
Scholes berpendapat bahawa tuntutan fizikal bola sepak antarabangsa pada tahap tertinggi terlalu berat untuk ditampung oleh pemain seusia Cristiano Ronaldo sepanjang 90 minit, terutama dalam pasukan yang mempunyai banyak bakat menyerang lain.
“Dia masih akan menjaringkan gol dalam pasukan yang banyak menguasai bola, tetapi dalam permainan peralihan, pergerakannya pada usia 41 tahun adalah satu masalah.”
“Portugal tidak mempunyai penyerang tengah yang luar biasa, tetapi anda perlukan seseorang yang banyak berlari. Bagi saya, dia sepatutnya bermain 15 minit terakhir sahaja.”
“Mungkin anda boleh ‘terlepas’ bermain pada usia 41 tahun sebagai pertahanan tengah atau penjaga gol, tetapi sebagai penyerang tengah, ia tidak sesuai,” tambah Scholes lagi.