Legenda Manchester United, Paul Scholes tanpa berselindung mempersoalkan kemampuan rekrut baharu Arsenal, Viktor Gyokeres.
Arsenal akhirnya menamatkan pencarian panjang mereka untuk mendapatkan penyerang baharu apabila berjaya membawa masuk Gyokeres dari Sporting Lisbon dengan nilai £64 juta.
Baca Juga:
- Arteta Optimis Viktor Gyokeres Bakal Jadi Aset Bernilai Arsenal

- Owen Dakwa Viktor Gyokeres Dah Buat Kesilapan Terbesar Di Arsenal

- Analisis: Viktor Gyokeres Serpihan ‘Puzzle’ Terakhir Arteta Untuk Arsenal Julang EPL

Namun Scholes masih meragui sama ada Gyokeres adalah pilihan tepat untuk mengetuai jentera serangan Mikel Arteta.

Scholes turut mempersoalkan bagaimana Viktor Gyokeres akan menyesuaikan diri dalam sistem Arteta sambil mencadangkan bahawa pemain itu mungkin bukan penyerang No.9 yang ‘bijak’ seperti yang benar-benar diinginkan oleh pengendali Arsenal tersebut.
“Arsenal perlukan seorang penyerang tengah tapi saya tertanya-tanya sama ada mereka telah memilih orang yang tepat.”
“Sebab banyak sangat kelewatan dan keraguan dalam proses ini, saya terfikir adakah Mikel Arteta benar-benar mahukannya (khidmat Viktor Gyokeres)?
“Adakah dia pemain utama yang diinginkan? Saya tak begitu pasti, tapi sekarang dia dah dapatkannya,” ujar Scholes menurut sumber laporan Goal.
“Laluan kerjayanya pun agak pelik dari Brighton, Coventry, dan kemudian ke Sporting Lisbon.”
“Rekod jaringannya memang luar biasa. Itu tak boleh dinafikan. Kalau ada mana-mana pasukan yang mampu cipta banyak peluang untuknya, ia sepatutnya Arsenal dan sepatutnya jadi padanan yang baik.”
Corak Permainan Arsenal Dan Viktor Gyokeres
“Satu perkara yang saya boleh katakan terhadap Gyokeres ialah ketika di Sporting Lisbon, dia mungkin banyak bermain secara serangan balas, terutama di pentas Eropah.”
“Bila kita fikir tentang Arsenal, mereka pasukan yang banyak menguasai permainan. Persoalannya, adakah dia cukup bijak untuk buat larian-larian tertentu di belakang pertahanan?”
“Bila tengok cara dia bermain, kebanyakannya dia mula dari garisan tengah, pecut ke depan, tiada siapa boleh kejar, dia rempuh pemain lawan, dia laju dan dia ‘smash’ bola masuk gol.”
“Tapi adakah dia jenis penyerang yang bijak seperti itu? Kita tahu (Alexander) Isak mampu lakukan semua itu. Tapi Gyokeres, boleh ke dia buat benda yang sama?” tambah beliau lagi.

Selepas menghadapi dua perlawanan persahabatan bersama Arsenal, penyerang berusia 27 tahun itu dilihat bergelut untuk membuktikan kemampuannya.
Masuk pada minit ke-77 ketika berdepan Tottenham Hotspur, Viktor Gyokeres sekadar mampu membuat dua sentuhan.
Manakala, pertemuan dengan Villarreal awal pagi tadi menyaksikan beliau hanya berjaya mencipta satu percubaan tepat ke arah pintu gol lawan dimana Arsenal tunduk 2-3 di laman sendiri.