Bekas pemain tengah Manchester United, Ander Herrera mendedahkan sebab beliau sanggup beraksi tanpa menerima gaji di kelab zaman kanak-kanaknya, Real Zaragoza.
Pemain berpengalaman itu menyumbangkan keseluruhan gaji mingguannya kepada kelab berkenaan bagi membantu usaha membina semula pasukan Sepanyol tersebut selepas bertahun-tahun dilanda kemelut kewangan.
Pemain berusia 37 tahun itu membuat kepulangan penuh emosi demi membantu kelab dari Sepanyol tersebut mengharungi saingan divisyen tiga.
Peluang Herrera Balas Jasa Real Zaragoza
Herrera pernah meraih pendapatan lumayan sepanjang lima tahun bersama Manchester United sebelum memperoleh jutaan lagi ketika beraksi bersama Paris Saint-Germain.
Kini kembali ke kelab tempat kariernya bermula dan pemain kelahiran Bilbao itu menyumbangkan keseluruhan gaji mingguannya sebanyak £5,500 kepada yayasan kelab berkenaan.
Zaragoza tersingkir daripada bola sepak profesional pada Mei lalu selepas berdepan masalah kewangan dan kontroversi perundangan selama sedekad.
Sehubungan dengan itu, Herrera melihat ini masa buat dirinya untuk membalas budi selepas kelab tersebut mengalami kesukaran.
“Banyak yang perlu saya hargai daripada kelab ini dan orang-orang di sini. Tanpa Real Zaragoza, saya mungkin tidak akan menjadi pemain profesional.”
“Kini, ketika kelab sedang melalui detik sukar, saya fikir kita semua, termasuk penyokong, bertanggungjawab untuk membantu pasukan dan kelab ini.”
“Saya sangat bangga dengan apa yang telah saya capai dalam bola sepak dan juga dari segi kewangan. Jadi, saya tidak memerlukan wang itu. Saya mahu bermain secara percuma,” ujar Herrera menurut sumber laporan Goal.