Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG), Datuk Dr. Mohd Aminuddin Mohd Rouse menyatakan tiada sebab untuk mereka memecat DJ sebagus DJ Lin sedangkan segmen beliau sentiasa dapat sambutan tinggi.

Ini kerana rating atau jumlah pendengar DJ Lin sangat cemerlang. Datuk Mohd Aminuddin tidak layan petisyen yang dilancarkan netizen mahu DJ Lin dipecat.

Baca Juga:

Dipetik daripada sumber Oh Bulan, Aminuddin berkata: “Saya dah kenal DJ Lin bertahun-tahun, ketaatan dan dedikasinya terhadap stesen radio kami tidak boleh dipersoalkan.

“Macam mana nak menentukan seseorang penyampai itu bagus atau pun tidak adalah dengan mengenal pasti data para pendengar iaitu ‘listenership’.

“Berdasarkan data ‘listenership’ yang saya tengok setiap minggu, yang paling tinggi sekali ialah sama ada DJ Lin atau pun Cik Piah.

“Kedua-dua penyampai ini boleh dikatakan kedudukan mereka sentiasa teratas dan sering berlumba-lumba pada setiap minggu.

“Jadi tak ada sebab untuk saya memecat DJ Lin atau pun tiada sebab sama sekali untuk beliau meletakkan jawatannya di Suria FM.

Beliau turut menegaskan simpati dengan DJ Lin yang menjadi mangsa kepada kontroversi yang berlaku baru baru ini. Di mana ada pihak mendakwa DJ Lin sebagai dengki dengan kejayaan Tyzo di ABPBH yang lalu.

Datuk Aminuddin tidak menolak kemungkinan ada cubaan jahat daripada segelintir pihak yang mahu menjatuhkan DJ Lin sedangkan dari segi kualiti kerja, DJ Lin sentiasa dapat sambutan daripada pendengar.

Sebagai sebuah organisasi, Suria FM mempertahankan Pengurus Besar mereka itu.

Datuk Aminuddin menambah: “Selain berkhidmat sebagai penyampai, DJ Lin juga merupakan Pengurus Besar Suria FM dan dalam erti kata lain siapa-siapa yang ‘menyerang’ pengurus besar syarikat bermakna anda juga sedang menyerang syarikat kami.

“Ada yang minta DJ Lin letakkan jawatan bahkan ada yang minta pihak atasan pecat DJ Lin, macam-macam tuduhan dilemparkan kepada DJ Lin bahkan kepada anak-anaknya turut terkesan.

“Jadi pada pendapat saya, mangsa sebenar di sebalik kontroversi ini adalah DJ Lin sendiri kerana ia telah menyebabkan kredibiliti dan reputasinya jatuh menjunam.

“Mungkin ini juga adalah satu rancangan yang bertujuan untuk menjatuhkan DJ Lin.”

Bercakap tentang jumlah pendengar, sebelum ini Datuk Aminuddin mengesahkan bahawa kemenangan Tyzo di ABPBH tidak banyak membantu dia dalam meningkatkan jumlah pendengar segmennya.

Ini antara sebab yang membawa kepada penamatan kontrak DJ tersebut. Kerana Suria FM mahu melaksanakan strategi baharu untuk tahun ini. Selain itu Tyzo turut dikatakan meminta kontrak hanya 6 bulan sedangkan Suria FM mahu mengikatknya lebih lama.