Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memohon maaf kepada pengamal media yang menjadi mangsa kepada tindakan salah seorang pegawai kelab tersebut yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada mereka, malam tadi.
Seperti dilaporkan pagi tadi, pegawai tersebut bertindak sedemikian selepas berakhirnya perlawanan Liga Super Malaysia 2024/25 yang menemukan PDRM FC dan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Baca Juga:
- Pegawai Selangor FC Dianggap Tidak Profesional Selepas Keluarkan Kata-Kata Kesat Kepada Pengamal Media
- Family Mart Kini Rakan Strategik Baharu Selangor FC
- Pernah Hatrik Lawan Harimau Malaya, Ali Olwan Kini Sertai Selangor FC
Pegawai itu dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan segelintir pengamal media yang merakam perjumpaan antara ketua jurulatih, Nidzam Jamil bersama wakil penyokong.
Sehubungan dengan itu, Shahril tampil dengan permohonan maaf dan menjelaskan hukuman diberikan pihaknya terhadap pegawai tersebut.
“Saya sudah arahkan pegawai terbabit direhatkan. Saya minta maaf kepada media terhadap apa yang berlaku,” ujar Shahril menurut sumber laporan Harian Metro.
“Pengurusan sudah berbincang dan akan pastikan pegawai terbabit tidak berada di padang atau stadium lagi.”
Perlawanan di Selayang itu berkesudahan terikat 1-1 apabila Selangor membuka jaringan menerusi pemain sayap, Alvin Fortes pada minit ke-16 manakala Aremu Timothy memadamkan kelebihan itu ketika aksi memasuki minit ke-92.
Dengan keputusan tersebut, Selangor masih berada ditangga kedua dengan 26 mata, ketinggalan lima mata dibelakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih kekurangan satu perlawanan.
Lebih menarik, kedua-dua pasukan akan bertemu sesama sendiri pada 27 Oktober nanti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.