Pasukan Selangor mengambil langkah untuk memantau serta mengasingkan pemain yang berpotensi untuk menjadi sasaran seterusnya selepas kejadian simbah asid yang dialami Faisal Halim.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom yang mana keputusan ini diambil sebagai langkah untuk melindungi pemain.

Baca Juga:

Selain itu, pihak kelab juga telah mengetatkan tahap keselamatan di pusat latihan dimana mereka menggunakan khidmat marshal yang bakal memerhatikan setiap gerak geri pemain dan mengenal pasti bahaya yang mungkin berlaku.

Kejadian yang menimpa Faisal ini nyata mengejutkan bola sepak tanah air dimana rata-rata dari mereka berasa geram dan kesal kerana pemain itu diperlakukan dengan tidak sepatutnya.

Oleh itu, ramai yang mencadangkan agar Selangor menunda perlawanan pembukaan Liga Malaysia musim ini yang juga aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai langkah melindungi semua pihak yang berada dalam kelab.

Dalam perkembangan lain, keadaan Faisal Halim kini ditahap yang amat membimbangkan apabila dilaporkan berisiko bersara awal daripada sukan bola sepak menurut laporan media tempatan.

Pada peringkat awal, Faisal melecur tahap dua tetapi keadaan bertambah parah apabila pegawai perubatan mengesahkan ia kini sudah mencapai tahap empat.

Ada juga laporan media mengatakan pembedahan awal mengalami komplikasi yang memerlukan pembedahan tambahan untuk menstabilkan keadaannya.

Akibat kerosakan pada saraf, ada kemungkinan beliau tidak dapat merasai apa-apa lagi pada bahagian lengannya sekaligus mengganggu keseimbangan badannya.

Ini sudah pasti menyebabkan beliau tidak mampu lagi bermain bola sepak pada tahap profesional dan terpaksa bersara serta merta.

“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit.

“Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,”jelas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.