Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) bakal memfailkan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM berhubung hukuman yang dikenakan terhadap kelab tersebut.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Selangor didenda sebanyak RM100,000 dan turut dikenakan hukuman bermain tanpa penonton (beraksi di stadium kosong) untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri.
Baca Juga:
- Gagal Kawal VVIP & Penyokong, Selangor FC Dihukum Beraksi Dua Perlawanan Tanpa Penonton

- Selangor Rehatkan Katsuhito Kinoshi

- Kenali Picha Autra, Bintang Baharu Selangor Dari Thailand
Sehubungan dengan dakwaan dan hukuman yang diterima, Selangor FC sebentar tadi tampil memberikan penjelasan berkenaan insiden yang berlaku ketika aksi suku akhir kedua Piala FA 2025/26 tersebut menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan.
Selangor FC Beri Penjelasan
“Selangor FC mengambil maklum akan Terma Keputusan Jawatankuasa Tatatertib pada 15 November 2025, dan ingin memberi penjelasan kepada semua pemegang taruh bola sepak negeri Selangor berkenaan insiden-insiden yang berlaku semasa perlawanan Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC pada 30 Oktober 2025 di Stadium MBPJ.”
“Insiden 1: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak terlibat dalam insiden membakar dan melempar mercun di dalam stadium.”
“Insiden 2: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak merosak atau melontarkan bangku tempat duduk yang mengakibatkan kecederaan kepada penyokong pelawat di dalam stadium semasa perlawanan berlangsung.”
“Pihak kelab mendapati kerosakan dan kehilangan bangku tempat duduk adalah di kawasan penyokong pelawat sahaja.”
“Insiden 3: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa tiada tetamu berstatus VVIP Selangor FC yang melontar bekas minuman plastik ke kawasan tempat duduk keluarga pasukan pelawat.”
“Insiden 4: Pihak kelab ingin menjelaskan bahawa penyokong Selangor FC tidak membuat provokasi yang mengakibatkan kekecohan di dalam stadium.”
“Kekecohan antara penyokong di dalam stadium berpunca apabila penyokong pasukan pelawat membakar dan melempar mercun ke tempat duduk penyokong Selangor FC.”
“Semasa perlawanan tersebut, pihak kelab telah menyediakan seramai 170 pegawai keselamatan dan anggota PDRM.”
“Dalam setiap insiden yang berlaku di dalam stadium, pegawai-pegawai keselamatan dan anggota PDRM dilihat sentiasa berada dalam kedudukan bersedia bertindak di setiap lokasi bagi menangani sebarang insiden yang tidak diingini.”
“Selangor FC akan memfailkan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM. Rayuan ini akan didengari semula secara menyeluruh dan pihak kelab mengharapkan bahawa rayuan ini dapat dipertimbangkan sebelum perlawanan Timbal Balik Separuh Akhir Piala FA yang telah dijadualkan pada 30 November 2025 di Stadium MBPJ.”
“Selangor FC tidak sesekali menyokong sebarang tingkah laku yang boleh mengancam keselamatan semua pihak. Stadium dan perlawanan bola sepak seharusnya menjadi ruang yang selamat untuk semua penyokong dan penonton menikmatinya dengan aman.”