Belum selesai kes bakar al-Quran di Sweden, satu lagi aksi provokasi bodoh oleh pemimpin eropah membabitkan kitab suci umat Islam kembali berlaku di Eropah.
Seorang ahli politik Belanda sayap kanan telah bertindak mengoyakkan halaman Al-Quran di Den Haag, ibu kota pentadbiran Belanda. Ini berlaku selepas dunia dikejutkan dengan pembakaran kitab suci umat Islam di Sweden sehari sebelumnya.
Baca Juga:
- Ahli Politik Islamofobia Bakar Al-Quran, Caprice Seru Netizen Boikot Produk Dari Sweden
- ‘Mengikut Panduan Al-Quran’ – Fezrul Khan Memperjelaskan Isu Bela Anjing
Dalam akaun Twitter rasminya, ahli politik Belanda Edwin Wagensveld berkongsi video tindakan provokasinya yang berlaku di hadapan bangunan parlimen di The Hague. Pihak polis tempatan dilaporkan telah memberi kebenaran tetapi dengan syarat dia tidak akan membakar kitab suci umat Islam itu.
“Bagaimanapun, video Wagensveld menunjukkan dia kemudian membakar muka surat Al-Quran yang koyak di dalam bekas,” lapor Agensi Anadolu.
Kes ini berlaku sehari selepas al-Quran dibakar di Sweden oleh seorang tokoh sayap kanan Denmark, Rasmus Paludan. Tindakan ini dilakukan di hadapan Kedutaan Turki di Stockholm bagi membantah dasar Ankara yang menghalang Sweden daripada menyertai NATO.
The leader of the Dutch anti-Islamic organization #PEGIDA, Edwin Wagensveld, has torn out pages of the #Quran right in front of the police in The Hague.
Another brave act, testing the limits of free speech against a hostile religion. pic.twitter.com/YdFNalDXaf
— TVisCOOL! 📺 www.tviscool.com (@TVisCOOLUK) January 23, 2023
Tindakan ini mendapat kecaman pelbagai negara umat Islam termasuk Turki. Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan malah memberi amaran kepada Stockholm supaya tidak mengharapkan sokongan Ankara untuk menyertai NATO.
Terbaru, Turki memutuskan untuk menangguhkan rundingan penyertaan NATO dengan Sweden dan Finland. Itu telah menjejaskan lagi harapan negara Nordik itu untuk menyertai pakatan pertahanan Barat selepas pencerobohan Rusia ke Ukraine.
Sumber diplomatik Turki berkata mesyuarat membabitkan tiga negara telah ditunda dari Februari kepada “kemudian”, tanpa memberikan sebarang butiran.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Wagensveld melakukan tindakan memusnahkan al-Quran. Oktober lalu, polis menahannya sebelum dia membakar al-Quran semasa tunjuk perasaan oleh kumpulan Islamofobia Pegida di Rotterdam.