Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terus menunjukkan perkembangan positif dalam saingan Moto3 World Championship apabila berjaya menamatkan perlumbaan ValencianGP di kedudukan ke-14 meskipun bermula jauh di grid P18.

Menurut anak kelahiran Kuala Terengganu itu, perlumbaan di Litar Ricardo Tormo tersebut bukan sesuatu yang mudah.

Baca Juga:

Namun, dengan keberanian serta tekad untuk memecut sehabis mungkin, beliau berjaya berada di kedudukan ke-14 untuk mengumpul dua mata tambahan meskipun cabaran sengit diberikan pesaingnya.

“Dalam perlumbaan tadi (semalam) saya bermula di grid P18. Pada awal perlumbaan, saya cuba sebaik mungkin dan saya ‘push hard’ untuk memintas sebanyak mungkin pelumba di hadapan.”

“Awal perlumbaan memang sukar untuk saya ke depan kerana semua pelumba di hadapan sangat laju. Saya perlu lebih berani untuk melakukan overtaking dan akhirnya saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14.”

Perkembangan Semakin Baik Ditampilkan Hakim Danish

“Sepanjang minggu ini saya ada perkembangan yang baik. Dari hari pertama saya ketinggalan lima saat dan setiap sesi saya meningkat sedikit demi sedikit.”

“Saya yakin mampu lakukan yang lebih baik tahun depan. Minggu depan adalah minggu perlumbaan JuniorGP di Valencia. Saya akan gunakan pengalaman daripada dua perlumbaan Moto3 ini untuk berlumba di Valencia nanti.”

“Saya akan lebih bersemangat dan buat yang terbaik minggu hadapan,” ujar Hakim dalam kenyataannya yang dikeluarkan ZK Racing.

“Di Portimao dan Valencia, banyak pengalaman saya dapat. Di Valencia terutamanya pada hari pertama, saya benar-benar tiada perasaan yang baik dan saya ketinggalan agak jauh.”

“Pasukan tidak pernah putus asa dengan saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang sentiasa membantu saya.”

“Saya tidak berputus asa dan melihat semula data bersama pasukan untuk mendapatkan setup terbaik pada jentera.”

“Saya tahu keputusan di Valencia ini bukan yang saya inginkan kerana saya mahukan lebih lagi. Jadi saya akan terus berusaha untuk persiapan tahun hadapan,” tambah Hakim Danish lagi.