Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai nama 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Pau Marti untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis, 29 Ogos 2024.
Mereka dipanggil bagi memperkuatkan Harimau Malaya menghadapi Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 4 hingga 8 September 2024.
Baca Juga:
Berdasarkan senarai tersebut, Pau Marti telah mengekalkan seramai 18 daripada 26 pemain dari skuad bagi dua perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei pada 6 dan 11 Jun 2024.
Lapan pemain baharu yang kembali disenaraikan ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Mohd Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu Separuh Akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, jam 9.00 malam. Satu lagi perlawanan Separuh Akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di Final pada Ahad, 8 September 2024, jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada Separuh Akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.
Pestabola Merdeka 2024 merupakan antara persiapan awal skuad Harimau Malaya sebelum saingan kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 bermula hujung tahun ini.