Kejayaan Qatar menjulang trofi Piala Asia 2023 telah mengulangi pencapaian skuad The Maroons itu yang muncul juara pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kemenangan 3-1 itu menyaksikan pemenang Piala Asia masih lagi kekal milik sembilan buah negara dan usaha Jordan untuk menjadi negara ke-10 memenangi kejohanan paling berprestij di Asia tersebut tidak kesampaian.
Baca Juga:
- Hatrik Penalti Akram Afif Pastikan Qatar Muncul Juara Piala Asia 2023
- Ini Jumlah Wang Bakal Diterima Semua Negara Yang Beraksi Di Piala Asia 2023
- Akram Afif Dipilih Sebagai Pemain Terbaik Piala Asia 2023
Sehubungan dengan itu, The Vocket akan kongsikan senarai lengkap pasukan-pasukan yang pernah megecapi nikmat selaku juara sejak edisi pertama anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Senarai lengkap juara Piala Asia
1956 – Tuan Rumah: Hong Kong, Juara (Korea Selatan)
Pada tahun 1954 di Manila, AFC telah memperkenalkan kejohanan Piala Asia dengan tujuan mempromosikan pembangunan bola sepak serantau serta memberikan platform kepada negara-negara Asioa untuk bersaing antara satu sama lain.
Bermula dengan 19 pasukan disenaraikan untuk beraksi di pusingan kelayakan, akhirnya hanya tujuh pasukan yang beraksi termasuklah Malaysia, Kemboja, Chinese Taipei dan Filipina.
Tiga pasukan yang layak untuk mengiringi tuan rumah, Hong Kong ialah Korea Selatan, Vietnam Selatan dan Israel.
Susulan dengan itu, hanya empat pasukan yang menyertainya, pertandingan diadakan dengan format ’round robin’.
Dua kemenangan (ke atas Israel dan Vietnam Selatan) serta satu keputusan seri dengan Hong Kong menyaksikan Korea Selatan muncul selaku juara sulung manakala Israel bergelar naib juara.
1960 – Tuan Rumah dan Juara: Korea Selatan
Empat tahun kemudian di Seoul dengan format yang sama, Korea Selatan lebih cemerlang dengan tiga kemenangan diraih ke atas Vietnam Selatan (5-1), Israel (3-0) dan Chinese Taipei (1-0) untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi.
Tempat kedua tidak berubah dengan Israel sekali lagi mengulangi pencapaian sama manakala Chinese Taipei dikedudukan ketiga dan Vietnam Selatan turut kekal ditempat keempat seperti ketika di Hong Kong.
1964 – Tuan Rumah dan Juara: Israel
Terus mengekalkan format sama secara ’round-robin’, tuan rumah muncul juara selepas menundukkan Hong Kong (1-0), India (2-0) dan Korea Selatan (2-1) untuk mengikuti jejak langkah Korea Selatan dengan menjulang piala di laman sendiri.
India yang pertama kali layak beraksi di pusingan akhir berada di kedudukan kedua dengan empat mata manakala Korea Selatan hanya berpuas hati ditempat ketiga dan tangga keempat menjadi milik Hong Kong.
1968 – Tuan Rumah dan Juara: Iran
Edisi terakhir menggunakan format ini menyaksikan lima pasukan beraksi di pusingan akhir dimana Iran tidak berdepan masalah untuk mengungguli saingan di Tehran tersebut.
Myanmar (ketika itu dikenali sebagai Burma) berada dikedudukan kedua dengan lima mata, diikuti Israel, Chinese Taipei dan Hong Kong.
1972 – Tuan Rumah: Thailand, Juara (Iran)
Format berubah pada edisi di Bangkok ini apabila melibatkan enam pasukan dan dibahagikan kepada dua kumpulan.
Kaedah penentuan kumpulan dibuat dengan cara dua pasukan yang menang akan diletakkan dalam kumpulan A bersama satu pasukan yang tewas.
Manakala bagi kumpulan B pula satu pasukan menang diletakkan bersama dua pasukan kalah.
Selepas perlawanan tersebut, Iran dan Iraq berada dalam kumpulan A bersama Thailand yang tewas manakala Kuwait pula menemani dua pasukan tewas iaitu Korea Selatan dan Kemboja.
Pada aksi separuh akhir, Iran berjaya menundukkan Kemboja 2-1 dan Korea Selatan menang 2-1 ke atas Thailand menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke final.
Jaringan pada minit ke-107 oleh Hossein Kalani berjaya menghadiahkan kejuaraan kali kedua berturut-turut buat Iran.
1976 – Tuan Rumah dan Juara: Iran
Kejuaraan hatrik buat Iran selepas menundukkan Kuwait 1-0 pada perlawanan akhir di Aryamehr Stadium, Tehran.
Menarik pada edisi yang masih mengekalkan format dua kumpulan dengan enam pasukan bertanding, Malaysia layak beraksi pada pusingan akhir buat pertama kali selepas mengungguli pusingan kelayakan.
Malaysia tewas 0-2 kepada Kuwait dan seri 1-1 menentang China dimana Allahyarham Mokhtar Dahari muncul penjaring tunggal negara.
1980 – Tuan Rumah dan Juara: Kuwait
Selepas kecewa pada edisi lalu, Kuwait yang dibimbing Carlos Alberto Parreira tampil dengan lebih baik di laman sendiri untuk menjuarai saingan dengan menumpaskan Korea Selatan 3-0 pada aksi final.
Daripada enam pasukan, jumlah negara bertanding bertambah menjadi 10 dengan dua kumpulan (satu kumpulan lima pasukan).
Malaysia sekali lagi mara untuk mencatatkan satu kemenangan (kalahkan UAE 2-0), dua keputusan seri (bertemu Korea Selatan dan Qatar) serta tewas kepada Kuwait 1-3 untuk menghuni tempat ketiga peringkat kumpulan.
1984 – Tuan Rumah: Singapura, Juara (Arab Saudi)
Permulaan dominasi Arab Saudi dalam saingan Piala Asia dengan kejayaan mereka muncul juara edisi ini setelah menewaskan China 2-0 di pentas final hasil jaringan Shaye Al-Nafisah dan Majed Ahmed Abdullah.
1988 – Tuan Rumah: Qatar, Juara (Arab Saudi)
Arab Saudi sekali lagi dinobatkan selaku juara selepas memenangi perlawanan yang penuh debaran ke atas Korea Selatan 4-3 menerusi sepakan penalti.
Aksi final pertama dalam sejarah Piala Asia berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.
Sepakan terakhir diambil Cho Yoon-hwan berjaya diselamatkan Abdullah Al-Deayea manakala Fahad Al-Bishi muncul wira walaupun Cho Byung-deouk sudah dapat menepis sepakannya tetapi bola masih bergolek masuk ke gawang Korea.
1992 – Tuan Rumah dan Juara: Jepun
Sekadar tamatkan penampilan sulung pada edisi sebelumnya di peringkat kumpulan buatkan Jepun berazam tinggi untuk raih kejayaan.
Usaha anak buah Hans Ooft itu buahkan hasil dengan muncul selaku juara hasil jaringan tunggal Takuya Takagi pada minit ke-36 untuk menewaskan Arab Saudi yang mara ke final buat kali ketiga berturut-turut.
Edisi kali ini menyaksikan pengurangan dua pasukan kepada hanya lapan pasukan bertanding dengan dua kumpulan (empat pasukan satu kumpulan).
1996 – Tuan Rumah: UAE, Juara (Arab Saudi)
Perubahan terus dilakukan AFC dengan edisi kali ini menampilkan 12 pasukan dengan tiga kumpulan (empat pasukan satu kumpulan).
Juara dan naib juara kumpulan automatik layak ke suku akhir manakala dua lagi slot menjadi milik dua pasukan terbaik yang menghuni tangga ketiga.
Dibimbing Nelo Vingada, Arab Saudi menebus kehampaan edisi lalu setelah muncul juara dengan menewaskan tuan rumah juga menerusi penentuan sepakan penalti 4-2, situasi sama ketika menewaskan Korea Selatan pada 1988.
2000 – Tuan Rumah: Lebanon, Juara (Jepun)
Selepas Hans Ooft, kini giliran Philippe Troussier pula mengemudi Jepun untuk muncul juara Asia selepas dimana Arab Saudi sekali lagi menjadi mangsa skuad Samurai Biru itu.
Jaringan di babak pertama Shigeyoshi Mochizuki sudah cukup untuk menghadiahkan kejuaraan kedua buat Jepun.
Ia merupakan penampilan kali kelima berturut-turut bagi Arab Saudi di pentas final kejohanan tersebut.
2004 – Tuan Rumah: China, Juara (Jepun)
Edisi kali ini bermulanya format baharu empat kumpulan dengan 16 pasukan yang layak bertanding. Ia juga bermakna tiada lagi slot buat pasukan terbaik di tangga ketiga peringkat kumpulan.
Jepun yang pada ketika itu mendapat bimbingan Zico tidak terlalu berdepan masalah untuk menewaskan tuan rumah 3-1 pada perlawanan akhir.
2007 – Tuan Rumah: Malaysia, Indonesia, Thailand & Vietnam, Juara (Iraq)
Kebiasaannya Piala Asia diadakan empat tahun sekali tetapi oleh kerana Sukan Olimpik dan Kejohanan Eropah diadakan pada 2008, AFC memilih untuk mengadakannya lebih awal.
Episod hitam buat Malaysia yang tewas ketiga-tiga perlawanan, tetapi kejutan luar biasa pula dicipta oleh negara bergolak, Iraq.
Younis Mahmoud Khalaf menjadi igauan buat Arab Saudi apabila jaringannya pada minit ke-72 telah melakar sejarah gemilang buat bola sepak Iraq.
2011 – Tuan Rumah: Qatar, Juara (Jepun)
Tewas di separuh akhir edisi 2007 menyaksikan Jepun kembali bangkit dengan kejayaan manis apabila berjaya menundukkan Australia 1-0 hasil jaringan pada masa tambahan oleh Tadanari Lee.
2015 – Tuan Rumah dan Juara: Australia
Penampilan ketiga selepas menjadi ahli gabungan AFC membuahkan hasil buat Australia yang mengecewakan Korea Selatan di pentas final.
Mendahului pada minit ke-45 menerusi Massimo Luongo, Korea kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-91 hasil jaringan Son Heung-min.
Bekas pemain Newcastle United, James Troisi menggamatkan Stadium Australia di Sydney susulan jaringannya pada minit ke-105 untuk menjadikan Socceroos selaku pemenang kelapan dalam sejarah pertandingan tersebut.
2019 – Tuan Rumah: UAE, Juara (Qatar)
Qatar yang serius dalam mempersiapkan pasukan menjelang Piala Dunia 2022 di laman sendiri dilihat berada di landasan tepat untuk meraih kejayaan.
Perjalanan cemerlang itu diakhiri dengan kejayaan muncul juara hasil kemenangan 3-1 ke atas Jepun.
Ia merupakan kali pertama Piala Asia disertai 24 pasukan dengan kembalinya format empat pasukan terbaik di kedudukan ketiga peringkat kumpulan akan ke pusingan 16.
2023 – Tuan Rumah dan Juara: Qatar
Kemenangan yang mendapat kritikan para peminat ekoran tiga sepakan penalti diterima Qatar yang membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan edisi lalu.
Kesimpulan
Jepun menjadi pasukan paling banyak menjuarai saingan dengan empat kali muncul selaku juara. Arab Saudi dan Iran mengekori dengan tiga kejuaraan.
Korea Selatan dan Qatar pula masing-masing menjulang piala tersebut sebanyak dua kali berturut-turut yang berlainan zaman, sementara itu Kuwait, Australia, Iraq dan Israel dengan satu kejuaraan.