Persatuan Badminton Malaysia (BAM) beberapa hari lalu telah mengumumkan barisan pemain yang bakal menggalas tanggungjawab negara dalam kempen Piala Thomas 2024.

Selepas tiga edisi berturut-turut skuad Piala Thomas hanya mampu melangkah ke suku akhir, sudah pasti pasukan negara mahu mara lebih jauh dalam saingan di Chengdu, China bermula 27 April ini.

Baca Juga:

Lee Zii Jia terus menjadi sandaran utama negara bagi memburu mata pertama tambahan pula beliau kebiasaannya cemerlang ketika aksi berpasukan.

Walaupun tidak berada di prestasi terbaiknya, beliau yang kini menghuni ranking ke-11 dunia masih mampu menjelmakan sesuatu buat kem negara.

Perseorangan kedua pula kelihatannya bakal diisi Ng Tze Yong tetapi berikutan rehat panjang akibat kecederaan dialami ketika Kejohanan Berpasukan Asia di Shah Alam tempoh hari, Leong Jun Hao mampu menjadi pengganti sesuai sekiranya keadaan memerlukan.

Seandainya Jun Hao terpaksa bermain di perseorangan kedua, pengalaman Cheam June Wei ditagih untuk mengisi kekosongan di perseoranan ketiga manakala seorang lagi pemain yang dipanggil ialah Justin Hoh.

Bagi acara beregu pula seperti dijangka harapan diletakkan kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik selaku beregu pertama manakala naib juara Asia, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani sebagai beregu kedua.

Dengan hanya kuota 10 pemain sahaja dibenarkan untuk didaftarkan, BAM mengambil keputusan untuk menyenaraikan Muhammad Haikal Nazri sebagai pemain simpanan.

Skuad negara akan bertemu Hong Kong pada perlawanan pertama Piala Thomas 2024 (27 April) jam 8.30 pagi manakala keesokannya berhadapan dengan Algeria (6.00 petang).

Denmark menjadi lawan terakhir pada aksi yang dijadualkan berlangsun 30 April (5.00 petang).