Bola sepak Asia kini menikmati perkembangan luar biasa dalam lima liga utama Eropah didorong oleh kehadiran ramai pemain dari Jepun dan Korea Selatan.

Bakat dari Indonesia turut mencipta sejarah apabila berjaya menembusi empat daripada lima liga utama tersebut, di samping wakil dari Thailand, China, Arab Saudi dan Australia.

Jepun ‘Pengeluar’ Paling Ramai Wakil Asia Di Liga Elit Eropah

English Premier League (EPL) menampilkan barisan besar pemain dari konfederasi Asia, dengan Jepun menjadi penyumbang utama menerusi beberapa pemain berprofil tinggi.

Zion Suzuki menjadi benteng terakhir Aston Villa, manakala Kaoru Mitoma kekal sebagai antara ancaman utama di jentera serangan Brighton & Hove Albion.

Ini Senarai Pemain Asia Yang Beraksi Di Liga Elit Eropah
Kredit Foto: Henry NICHOLLS / AFP

Crystal Palace pula bergantung kepada Daichi Kamada dan Takehiro Tomiyasu, sementara Daizen Maeda beraksi bersama Ipswich Town dan Wataru Endo memberikan pengalaman di bahagian tengah Liverpool.

Selain itu, Hidemasa Morita pula mewakili Hull City, Tatsuhiro Sakamoto bersama Coventry City dan Ao Tanaka menjadi antara tonggak di bahagian tengah Leeds United.

Korea Selatan pula diwakili prospek pertahanan muda, Kim Ji-soo yang beraksi bersama Brentford manakala pertahanan Uzbekistan, Abdukodir Khusanov menjadi sebahagian daripada skuad Manchester City.

Di Serie A Itali, Yukinari Sugawara menjadi tonggak di bahagian sayap Cagliari. Indonesia pula memiliki wakil berprofil tinggi menerusi pertahanan, Jay Idzes yang beraksi bersama Sassuolo.

Beralih ke LaLiga Sepanyol, Takefusa Kubo terus menyerlah sebagai antara pemain penting Real Sociedad, selain ditemani rakan senegara yang masih muda, Ryunosuke Sato, di Valencia. Wakil utama Korea Selatan pula diketuai pemain tengah menyerang Atletico Madrid, Lee Kang-in.

Indonesia turut mempunyai wakil dalam saingan LaLiga menerusi penjaga gol, Emil Audero yang kini beraksi bersama Rayo Vallecano.

Bundesliga Jerman pula menjadi antara hab terbesar bagi pemain-pemain dari Asia. Jepun memiliki senarai wakil yang cukup ramai, termasuk Yuito Suzuki, Rihito Yamamoto dan Keisuke Goto bersama SC Freiburg, Hiroki Ito di Bayern Munich, serta Ko Itakura, Daichi Hashioka, Zento Uno dan Shuto Machino yang beraksi bersama Borussia Monchengladbach.

Mainz 05 membariskan Kaishu Sano dan Sota Kawasaki manakala Koki Machida beraksi bersama Hoffenheim. Eintracht Frankfurt pula memiliki Ritsu Doan dan Keita Kosugi, sementara Satoshi Tanaka mewakili Schalke 04.

Korea Selatan turut mempunyai pengaruh besar di Bundesliga menerusi Kim Min-jae di Bayern Munich, Jens Castrop di Borussia Monchengladbach, Seol Young-woo bersama FC Augsburg, Hwang Hee-chan di Schalke 04, Jeong Woo-yeong bersama Union Berlin dan Lee Jae-sung di Mainz 05.

Ini Senarai Pemain Asia Yang Beraksi Di Liga Elit Eropah
Kredit Foto: Ronny HARTMANN / AFP

Indonesia pula diwakili Kevin Diks yang memperkuatkan Borussia Monchengladbach, manakala Asia Tenggara turut menyumbang dua pemain menerusi Nicholas Mickelson (Thailand) bersama Elversberg dan pemain Filipina, Raphael Obermair di Paderborn 07.

Di Ligue 1 Perancis, Jepun memiliki Keito Nakamura di Lyon, Ayumu Seko, Nakamura Sota dan Kaito Mizuta bersama Le Havre, Ayase Ueda di LOSC Lille serta Takumi Minamino yang beraksi untuk AS Monaco.

Indonesia turut mempunyai wakil menerusi Calvin Verdonk yang menyarung jersi Lille, manakala Arab Saudi diwakili Saud Abdulhamid bersama Lens. China pula mempunyai wakil menerusi Wei Xiangxin di Auxerre.

Sebagai anggota dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Australia memiliki pemain di seluruh Eropah menerusi Lucas Herrington bersama Hull City, Cristian Volpato di Sassuolo, penjaga gol berpengalaman Mathew Ryan di Levante, Paul Okon-Engstler bersama Koln dan Patrick Beach di Troyes.