Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita pemain skuad Harimau Malaya, Faisal Halim disimbah asid oleh individu tidak dikenali selepas bermain go-kart di sebuah pusat beli-belah terkenal.

Ini adalah kejadian kedua yang melibatkan seorang lagi pemain Harimau Malaya, selepas Akhyar Rashid dipukul dan disamun sehingga menerima jahitan di kepala serta kaki pada khamis lepas.

Baca Juga:

Malah, insiden tersebut turut menarik perhatian media dari Korea Selatan yang menyiarkan berita mengenai kejadian itu di portal sports naver. 

Ia juga menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak Korea Selatan di laman sosial kerana mereka sangat mengenali nama Faisal Halim.

Menurut mereka, kejadian itu cukup mengejutkan kerana Faisal Halim merupakan individu yang berjaya menewaskan tonggak pertahanan Korea Selatan, Kim Min Jae dan seterusnya menjaringkan gol ketika aksi Piala Asia 2023 di Qatar.

Susulan kejadian tersebut, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon berharap Faisal Halim dan Akhyar dapat jaga diri dengan baik dan mendoakan keselamatan mereka.

“Saya terkejut. Menyasar pemain bola sepak sebagai mangsa jenayah ialah sesuatu yang sukar dibayangkan di Korea. Saya mahu menahan kata-kata saya.

“Tiada cari lain, kita kena cari pengganti untuk pemain itu dalam tempoh 3 minggu,” kata Kim Pan Gon.

Insiden itu menyebabkan nama Akhyar dan Faisal kemungkinan disisihkan untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan jun hadapan.

Kim Pan Gon perlu mencari pemain lain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal dan Akhyar.

Malaysia dijadualkan berdepan Kyrgyzstan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 6 Jun sebelum menentang Taiwan pada 11 Jun.

Kemenangan amat penting untuk mendapatkan tiket automatik ke Piala Asia 2027 dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.