Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Philippe Troussier memberikan komen mengenai perbandingan yang selalu dilakukan antara beliau dan bekas pengendali pasukan iaitu Park Hang-seo.

Dalam satu sidang media selepas pasukan itu tiba di Qatar, Troussier mengakui pasukannya berdepan banyak tekanan dan beliau sedar ada peminat yang tidak percaya dengan kemampuannya mengendalikan pasukan.

Baca Juga:

Peminat sering membandingkan antara Park Hang-seo dan Philippe Troussier dimana pengendali dari Korea Selatan itu telah membawa kejayaan besar dalam pasukan dengan memenangi beberapa kejuaraan di peringkat antarabangsa.

“Ketika saya membaca komen peminat di media sosial, ramai peminat tidak percaya dengan kemampuan pasukan dibawah kendalian saya dan semua pemain sedar akan perkara tersebut.

“Tetapi saya tidak terlalu peduli dengan perkara ini. Saya adalah ketua jurulatih ketika ini, masa lalu (Hang-seo) telah berakhir.

“Semakin ramai yang tidak percaya dengan kami, maka perkara ini akan semakin menguatkan pasukan. Apabila semua bersatu, saya yakin kami akan mendapat hasil terbaik,” katanya.

Bagi menghadapi temasya edisi kali ini, Vietnam kehilangan dua tonggak penting ekoran kecederaan dialami ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan pada November lalu.

Mereka kehilangan khidmat pemain pertahanan sekaligus ketua pasukan, Que Ngoc Hai dan penyerang utama, Nguyen Tien Linh ekoran kecederaan dimana kedua-dua pemain tidak sempat pulih menjelang sepak mula Piala Asia pada 12 Januari.

Vietnam diundi dalam kumpulan D bersama salah satu pasukan pilihan iaitu Jepun, Iraq dan seteru utama di peringkat Asia Tenggara iaitu Indonesia.