Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 2 2025 walaupun sekadar mencatatkan keputusan seri 6-6 ketika berdepan PFA Odin Sarawak pada aksi terakhir yang berlangsung di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
Satu mata diraih itu sudah cukup untuk membolehkan mahkota kejuaraan menjadi milik skuad kendalian Mohd Yuzmuhaimizee Yaacob itu dengan kelebihan satu mata berbanding Terengganu yang berada di kedudukan kedua.
Baca Juga:
- Tak Mampu Dikejar, Skuad Futsal JDT Muncul Juara MPFL 2025

- MPFL Divisyen 1: Ini Perubahan Boleh Dilakukan Untuk Tarik Penyertaan Lebih Banyak Pasukan

- Skuad Futsal Kelantan Muncul Juara MPFL Divisyen 2 2024

Ia juga bermakna kedua-dua pasukan akan melayakkan diri untuk beraksi dalam saingan Piala Futsal Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

USMKK tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Mohamad Aiman Naimi menyempurnakan peluang terhidang pada minit ketiga selepas menerima umpanan daripada Muhammad Airul Shaqim Asharun ekoran kesilapan pemain PFA Odin di kawasan sendiri.
Kegembiraan itu bagaimanapun hanya bertahan seminit apabila kesilapan pemain USMKK pula digunakan sebaiknya oleh Mohammad Nazir Mahdini untuk kembali menyamakan kedudukan.
Daniel Aiman Abdul Khalil kembali meletakkan USMKK dihadapan pada minit kelapan setelah percubaan kaki kirinya dari sudut sukar berjaya menewaskan penjaga gol, Matsafarrudee Mohamad Muis.
Skrip sama berlaku apabila PFA Odin Sarawak pantas memadamkan kelebihan tersebut hasil jaringan kedua peribadi Nazim yang melakukan percubaan melepasi celah kaki penjaga gol, Mohammad Farisa Mohd Sharif pada minit ke-10.
Dua minit kemudian, PFA Odin Sarawak pula berada dihadapan berpunca jaringan menerusi sepakan percuma yang disudahkan peledak berbisa, Asyraff Zakaris.

Aksi kemudiannya dicemari dengan pergaduhan hingga menyebabkan dua pemain PFA Odin Sarawak dilayangkan kad merah dan seorang pemain USMKK turut mengalami nasib sama.
Tidak cukup dengan itu, masing-masing seorang pegawai pasukan bagi setiap pasukan turut diperintahkan keluar padang.
Perlawanan kembali bersambung menyaksikan USMKK mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-17 menerusi Muhammad Alif Mohamed.
Tuah Memihak USMKK
Bagaikan mendapat tonik berguna pada waktu rehat, kedua-dua pasukan beraksi dengan baik untuk menambah jaringan.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka berjaya mendapatkan jaringan keempat pada minit ke-23 apabila hantaran lolos cantik oleh Muhammad Alif disudahkan dengan tenang Mohamad Aiman bagi menjadikan kedudukan 4-3.
Tidak cukup dengan itu, USMKK menambah dua lagi jaringan menerusi gol sendiri ketua pasukan PFA Odin Sarawak, Mohamad Azrin Shahmin Jefery pada minit ke-25 dan Muhammad Amirul Syahmi Mohd Sanusi (minit ke-36).
PFA Odin menjelmakan kebangkitan hebat selepas mendapatkan tiga gol menerusi jaringan sepakan penalti kedua (second spot) oleh Asyraff Zakaris dan dua lagi tambahan jaringan menerusi Mohammad Nazir.
Namun, ia sudah terlambat buat PFA Odin untuk mendapatkan jaringan kemenangan sekali gus memastikan kejuaraan pada musim ini menjadi milik USMKK.