Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila tewas 0-5 kepada jaguh Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Todokori, semalam.
Pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kegagalan pemainnya beraksi seperti yang sepatutnya dan kerap hilang bola.
Baca Juga:
- ACL 2023/24: JDT Gagal Kutip Mata Berdepan Kawasaki Frontale
- Analisis Vocket: JDT Lemas Dalam Fluiditi Kawasaki Frontale
- Matthew Davies: Kawasaki Frontale Ada Kelebihan Aksi Intensiti Tinggi Berbanding JDT
“Sememangnya ia malam yang sukar buat kami kerana kami tidak bermain seperti yang dikehendaki dan ini juga bermaksud kami sudah tersingkir daripada saingan walaupun masih berbaki satu perlawanan.
“Kami yakin sebelum turun menentang Kawasaki Frontale tetapi kami tidak bermain seperti yang sepatutnya apabila kerap hilang bola dan gagal berfungsi dengan baik.
“Kami tidak berada dalam perlawanan dan saya rasakan persembahan kami tampilkan tidak seperti yang kami kerap amalkan dan amat sedih apabila kami tewas.
“Saya enggan komen lebih lanjut lagi,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Keputusan tersebut menyaksikan peluang JDT untuk mara ke pusingan kalah mati agak tipis selepas pencabar terdekat, Ulsan Hyundai turut mengutip 3 mata apabila menewaskan BG Pathum United 3-1.
Kawasaki Frontale menguasai perlawanan dengan corak hantaran pendek dan langsung tidak memberi peluang kepada JDT untuk merampas bola tersebut. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, tuan rumah bermula dengan garang namun penjaga gol JDT, Syihan Hazmi berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya daripada jentera serangan Kawasaki Frontale.
JDT cuba bangkit mencari jaringan pertama namun mereka masih sukar untuk menembusi benteng pertahanan Kawasaki Frontale yang beraksi dengan cukup berdisiplin.
Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan keputusan 4-0, Miki Yamane menambah derita JDT dengan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk gol kelima Kawasaki Frontale.
Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan Kawasaki Frontale dinobatkan sebagai juara kumpulan selepas mengutip 15 mata maksimum dengan rekod tanpa kalah setakat ini.
Nasib JDT sama ada layak ke pusingan kalah mati akan diketahui pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang BG Pathum pada 12 Disember nanti.
Jika JDT menang, Ulsan Hyundai tewas, jumlah mata kedua-dua pasukan ini terikat 9 mata tetapi kemaraan mereka akan ditentukan menerusi perbezaan jaringan.
Ia tugas yang sukar untuk skuad Harimau Selatan kerana Ulsan Hyundai memiliki kelebihan dari segi jaringan. JDT memerlukan 10 gol untuk memadam defisit perbezaan jaringan tersebut.