Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula menjalankan siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Putrajaya.

Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mendapat aduan awam.

Baca Juga:

“Kes ini kita anggap sebagai satu yang membabitkan kepentingan awam. Kita melihat pada maklumat yang diberikan, jadi kita tumpukan kepada satu isu sajalah yang mana melibatkan isu pembinaan projek National Training Centre (NTC).

“Untuk makluman semua, ini adalah sebenarnya funding datang sebanyak RM25 juta daripada pihak FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), bukan duit FAM.

“Jadi FAM cuma menjalankan perolehan melalui tender dan sebagainya dan sudah dikemukakan kembali kepada FIFA untuk pemilihan yang terakhir. Pihak FIFA sudah bersetuju dengan syarikat yang berkaitan.

“Dua minggu lagi (selepas siasatan) kalau tidak ada kes, kita akan cakap tiada kes, kalau ada kes kita akan cakap ada kes yang menunjukkan kesalahan berlaku. Kita akan membawa cadangan untuk pertuduhan dan sebagainya.” katanya dalam Berita Harian.

FAM sebelum ini menjadi perhatian umum susulan tersebar surat layang dengan pembinaan NTC turut menjadi isu selepas projek itu juga disebut dalam surat berkenaan.

‘Surat Layang’ Kisah Gelap FAM Mula Tersebar Di Media Sosial

Difahamkan SPRM telah mengambil beberapa fail daripada FAM untuk menyiasat dakwaan dalam surat layang yang terkandung isu salah guna kuasa dan penyelewengan.

Pengirim surat layang itu turut menyeru SPRM menyiasat bagaimana proses tender dijalankan di FAM dan siapa individu yang terlibat.