Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal jadi gelanggang rasmi skuad Selangor FC (SFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengesahkan stadium tersebut akan dinaik taraf untuk memenuhi standard dan peraturan yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Salah satu kriteria penting AFC ialah semua tempat duduk di stadium berkenaan perlu dipasang dengan kerusi dan tidak perlu lagi penyokong duduk atas simen.

“Kerja-kerja itu akan bermula tak lama lagi, bermula bulan empat Insya-allah ada beberapa penambahbaikan seperti kerusi, pencahayaan, pa system, bumbung, sumber air dan sebagainya.

“Kita memang sedang bekerjasama dengan MBPJ untuk menaik taraf stadium ini, untuk lebih sesuai dengan prestij ACL 2,” kata Dr Johan dipetik dalam Sukanz. 

Selangor layak beraksi di pentas Asia selepas muncul sebagai naib juara Liga Super 2023. Slot itu diberikan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan sebagai juara Piala FA musim ini.

Pada musim 2020, Selangor pernah menggunakan Stadium UiTM Shah Alam sebagai gelanggang sementara dan menghuni kedudukan kelima dengan 17 mata dalam saingan Liga Super. Mereka juga sempat menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perlawanan menentang Perak.

Sejak musim 2021, SFC telah menjalankan beberapa pengubahsuaian dan menaik taraf beberapa fasiliti sekitar stadium seperti bilik persalinan pemain dan kiosk untuk jualan makanan dan minuman SFC, yang dikenali sebagai FAS Food.