Malaysian Football League (MFL) hari ini mengesahkan venue aksi Liga Super (LS9) antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10 November 2024.
Perlawanan itu tersebut sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober 2024 di Stadium Perak, Ipoh namun terpaksa ditangguhkan oleh Komisioner Perlawanan susulan keadaan padang yang tidak sesuai digunakan akibat hujan lebat yang turun sebelum sepak mula jam 8:15 malam.
Baca Juga:
- Aksi Perak Menentang JDT Ditunda Pada 10 November
- MFL: Dakwaan Perak FC Adalah Tidak Benar
- ‘Kami Tidak Diberi Peluang Untuk Berbincang’ – Pengerusi Perak FC
“MFL sebelum ini telah meminta Perak FC untuk menamakan venue alternatif berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi ini selain untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan menangguhkan lagi jadual Liga Super bagi separuh musim ini yang masih belum lengkap.
“Sebagai maklum balas kepada permintaan MFL itu, Perak FC telah menamakan SSI sebagai gelanggang mereka untuk perlawanan tertunda tersebut,” kata kenyataan rasmi MFL.
Ini kali kedua aksi Perak-JDT terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat dan keputusan yang dibuat kali ini adalah untuk memastikan undian Piala Malaysia 2024-2025 pada 11 November 2024 dapat berjalan seperti yang dirancang.
Penetapan tarikh baharu perlawanan itu juga menyebabkan tarikh pusingan 16 TM Piala Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 8-10 November 2024 dan 22-24 November 2024 ditukar ke tarikh lain.
“Jadual Pusingan 16 TM Piala Malaysia ini diubah kerana perlu menunggu aksi tertunda antara Perak FC menentang JDT ini yang akan berlangsung pada 10 November 2024 bagi melengkapkan kedudukan Liga Super selepas minggu 13 perlawanan bagi menjalankan Undian TM Piala Malaysia.
“Justeru, tarikh baharu bagi perlawanan pertama Pusingan 16 TM Piala Malaysia akan bermula pada 20 November – 24 November 2024 manakala perlawanan kedua Pusingan 16 pula berlangsung pada 29 November – 1 Disember 2024,” kata MFL dalam kenyataan rasmi minggu lepas.