Kesan jangka panjang daripada perniagaan hartanah yang gagal telah menyebabkan bekas pertahanan Liverpool, Steve Finnan hampir muflis kerana terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan abangnya, Sean.
Finnan, pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL)bersama Liverpool pada 2005 telah menyaman abangnya tetapi tidak pernah menerima sebarang wang dan sejak itu bertanggungjawab ke atas kos undang-undang dan bil lain yang tidak dibayar.
Baca Juga:
- Biar Pertahanan Rapuh Asalkan Menyerang, Arne Slot Tetap Pertahan Falsafah Permainan Liverpool

- ‘Ini Bukan Alasan, Tapi Realiti’, Arne Slot Jelaskan Situasi Sukar Sedang Dihadapi Liverpool

- Jamie Carragher Anggap Liverpool Kini Dalam Krisis

Menurut sumber laporan Goal, Steve bertindak menyaman abangnya sekitar tahun 2016 dimana Mahkamah Tinggi yang memihak kepada bekas pemain bola sepak itu dengan jumlah £4 juta pada 2018, tetapi abang Finnan diisytiharkan muflis setahun kemudian tanpa membayar saman tersebut.
Pertikaian Undang-Undang Libatkan Steve Finnan
Itu hanyalah permulaan dengan Finnan terpaksa ke mahkamah beberapa kali sejak itu.
Bekas pemain antarabangsa Republik Ireland yang beraksi di Piala Dunia 2002, telah memfailkan tuntutan kecuaian bernilai £6 juta terhadap firma guaman Charles Russell Speechlys, tetapi gagal.
Beliau kemudian mengambil tindakan terhadap seorang peguam individu daripada firma itu atas dakwaan menghina mahkamah.
Finnan kalah dan dikenakan bil kos bernilai lima angka. Beliau tidak membayar dan kini menjadi subjek petisyen kebankrapan di Central London County Court.
Steve Finnan juga turut kalah dalam satu lagi pertikaian apabila membantah bil dengan firma lain, Candey yang mengambil alih kesnya,dan diarahkan membayar £120,000.
Kemudian, lawatan terbaru ke Mahkamah Tinggi untuk merayu beberapa aspek kes kebankrapan yang disebut tadi menyebabkan hakim memberitahu Finnan bahawa beliau hanya menggunakan taktik “melengahkan”.
Apabila petisyen kebankrapan dipindahkan ke Central London County Court, Finnan telah merayu dan berjaya membatalkan tarikh pendengaran akhir pada bulan September.
Beliau berhujah bahawa kerumitan kes memerlukan pengendalian di Mahkamah Tinggi serta mendakwa wujud “bias” terhadapnya oleh hakim.
Apabila rayuan Finnan terhadap petisyen kebankrapan yang berkaitan dengan perintah kos kurang daripada £50,000 ditolak, Hakim Mellor berkata:
“Melihat secara menyeluruh, adalah mengejutkan bahawa Encik Steve Finnan telah mencabar perintah arahan ini. Aduannya kebanyakannya bersifat prosedural dan tiada asas.
“Saya menolak kebenaran untuk merayu dan saya menolak rayuan ini. Saya juga mengesahkan bahawa rayuan ini langsung tiada merit.”
“Sepanjang masa, ia memang tiada harapan. Petisyen ini akan terpaksa menjadi subjek arahan lanjut. Saya rasa arahan itu sebaiknya diberikan oleh seorang hakim dalam senarai insolvensi.”