Sejak semalam, media sosial Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihujani sejumlah komentar dari negara jiran yang meluahkan apreasasi kepada beliau.

Apa yang sudah jadi? Rupanya hal ini kerana pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja.

Susulan Usaha Diplomasi Damai, PMX 'Dibanijiri' Penghargaan Rakyat Kemboja Di Facebook
Sumber Gambar: FB PM Anwar Ibrahim

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata komen di laman Facebook rasmi PM Anwar Ibrahim dan Pejabat Perdana Menteri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Malaysia atas peranan pentingnya sebagai pemudah cara dalam menjayakan perjanjian bersejarah yang memulihkan kestabilan sempadan Thailand-Kemboja.

“”Saya, sebagai rakyat Kemboja, tidak mampu membalas jasa dan keringat yang dicurahkan oleh Tuan Perdana Menteri dan rakyat Malaysia dalam menjayakan Perjanjian Damai yang bersejarah ini. Jutaan terima kasih atas usaha tulus ikhlas anda.

Doa saya, semoga Tuan Perdana Menteri dan seluruh Malaysia dirahmati dengan kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan.”

“Saya harap anda telah melihat komen ini. Saya dan rakan-rakan Kemboja yang lain amat menghormati anda dan seluruh negara Malaysia atas usaha membawa keamanan kepada rakyat dan negara Kemboja.

Sebagai rakyat Khmer, kami akan sentiasa mengingati anda, menghormati anda, dan kami sayang Malaysia selama-lamanya. Terima kasih, Tuan Perdana Menteri Malaysia.”

“Dari Kemboja, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada PM Anwar Ibrahim atas kepimpinan hebat dan kebaikan beliau kepada negara kami sejak dahulu hingga terwujudnya tanda damai ini. Salam kasih dari Kemboja. Terima kasih banyak, Malaysia!”, demikian antara komentar yang dilontarkan oleh rakyat Kemboja kepada PMX.

Berikut beberapa komentar yang kami tangkap layar terus dari ruangan media sosial Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan Usaha Diplomasi Damai, PMX 'Dibanijiri' Penghargaan Rakyat Kemboja Di Facebook
Sumber Gambar: FB PM Anwar Ibrahim

Perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja yang dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 adalah langkah penting untuk membina semula kepercayaan dua hala selepas pertelingkahan yang lama.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, memainkan peranan utama sebagai perantara yang berjaya memudah cara rundingan bagi mencapai perjanjian bersejarah ini.

Susulan Usaha Diplomasi Damai, PMX 'Dibanijiri' Penghargaan Rakyat Kemboja Di Facebook
Sumber Gambar: FB PM Anwar Ibrahim

Dalam pada itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan serantau dan antarabangsa, termasuk Presiden AS Donald Trump, kerana telah membantu memujuk Kemboja dan Thailand untuk berdamai.

Selain itu, Anwar menegaskan bahawa usaha keamanan ini perlu diperluas ke kawasan konflik lain, terutamanya Gaza, untuk memastikan keadilan dan nilai kemanusiaan menjadi keutamaan dalam sistem dunia.