Pekerja p-hailing meminta kerajaan untuk campur tangan dalam menyelesaikan masalah kadar asas upah perkhidmatan oleh sebuah syarikat penghantar makanan.

Ini kerana sebelum ini kerajaan menerusi kenyataan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan kerajaan berpendirian tidak campur tangan dalam urusan syarikat e-hailing atau p-hailing dalam penentuan kadar upah.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Kerajaan pada masa ini lebih menekankan aspek kebajikan sosial para pekerja yang terlibat dalam industri tersebut.

Namun kini, pekerja p-hailing mulai meminta kerajaan untuk campur tangan.

Mereka menyatakan kadar baharu yang ditawarkan membuatkan ramai terjejas pendapatan sehingga RM1,000 sebulan.

Pekerja p-hailing syarikat berkenaan, Mohd Adie Ali Nafiah mendakwa beliau dan rakan rakannya tidak pernah diajak berbincang tentang kadar upah asas tersebut.

Tahu tahu sahaja, ianya sudah dikuat kuasakan bulan lalu.

Dipetik dari Buletin TV3, Adie berkata: “Sistem kadar lantai telah dikacau, kami susah nak dapat makan dan tidak berpuas hati, kami minta syarikat ubah ke sistem sebelum ini tapi tiada perubahan. Kami minta kerajaan sama ada mereka boleh sediakan pelan jangka panjang yang adil untuk masalah ini.”

“Harga lantai dulu RM5, sekarang jatuh RM4 ke bawah setiap tempahan tidak termasuk dua atau tiga tempahan dan juga ‘pick up’ yang jauh.”

Adie dan kira kira 50 lagi pekerja p-hailing syarikat berkenaan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan (MOT), Dr Nor Fuad Abdul Hamid di pekarangan bangunan MOT.

Dipetik dari sumber yang sama, seorang lagi pekerja p-hailing mendakwa sebelum ini dia boleh meraih pendapatan RM100 sehari untuk kerja yang dia lakukan dari pagi hingga petang.

Namun kini, pendapatannya tidak mencecah angka tersebut walaupun bekerja sehingga malam sekalipun.

Mereka mengeluh dengan syarikat tersebut yang turut dituduh menipu bayaran dari segi jarak penghantaran.

“Dulu 1 kilometer (km) RM1. Sekarang lebih 10km cuma bayar RM5 ke RM6.

“Apa kami tidak berpuas hati, kami tidak boleh melawan syarikat ini, cuma kami boleh bergantung harap dengan kerajaan untuk membantu dan mengambil tahu apa yang berlaku terutama kami yang telah berusia dan mempunyai tanggungan besar,” kata Mohd Azad Mohd Hussin.

Dalam memorandum yang diserahkan itu, mereka menuntut syarikat tersebut untuk kekalkan ‘pick-up bonus’ sebanyak 60 sen dan upah ‘double order’ atau ‘triple order’ dikira dari jarak restoran.

Seterusnya, untuk pembatalan pesanan, mereka meminta syarikat tersebut agar lebih cepat melakukan proses pemulangan semula wang mereka yang mengambil masa terlalu lama.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor yang turut hadir, merayu dan berharap kerajaan mengambil perhatian perkara itu.

Ini kerana banyak keluhan pekerja p-hailing sebelum ini tidak didengari dan tidak ada penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi.

Kamarul Baharin berkata: “Berikan mereka sinar, saya tidak fikir penghantar makanan meminta bulan dan bintang, bukan hendak jadi kaya, tetapi bekerja demi sesuap nasi untuk menyara keluarga.”