Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe tidak menolak hakikat bahawa saingan 2024/25 bakal menjadi musim yang mencabar untuk skuad kendaliannya.
Hal ini kerana selepas muncul naib juara Liga Super musim lalu, skuad Gergasi Merah itu turut akan beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).
Baca Juga:
- Tan Cheng Hoe: Kehadiran Ramai Pemain Import Dapat Wujudkan Persaingan Sihat
- Ronnie Fernandez Penggempur Baharu Selangor
- Mengenang ‘Jiwa Pejuang’ Brendan Gan Bangkit Melawan Dugaan Hebat Dalam Karier
Sehubungan dengan itu, musim baharu ini sudah tentu fokus yang lebih tinggi perlu diberikan Cheng Hoe dan barisan pemainnya untuk memastikan mereka mampu meraih keputusan positif di pentas ACL 2.
“Musim yang mencabar juga untuk pasukan sebab bukan sahaja kena fokus dekat Liga Super tetapi kita juga nak bersaing di ACL 2.”
“Sebab itu saya nak pemain kekal fokus dan juga memperbaiki prestasi individu selain fizikal juga penting untuk bersedia dengan musim yang begitu mencabar.”
“Tahun lepas kita (Selangor) melakukan tugas yang cukup baik untuk raih naib juara liga dan tahun ini, sebagai jurulatih saya positif dengan pasukan ini selain setiap individu harus kerja keras,” tambah Cheng Hoe lagi.
Selepas dilaporkan sebelum ini, Selangor telah mengumumkan kehadiran tiga pemain import iaitu Umarbek Eshmurodov (pertahanan Uzbekistan), Ronnie Fernandez (bekas penyerang skuad kebangsaan Chile) dan Alvin Fortes (bekas pemain skuad kebangsaan Cape Verde).
Sementara itu penjaga gol muda, Azim Al Amin turut direkrut untuk memberikan lebih banyak pilihan bagi mengemudi gawang kelab tersebut.
Difahamkan, Selangor FC sudah pun kembali memulakan latihan bersama barisan pemain secara rasmi pada Isnin lalu.