Peminat bola sepak tempatan hari ini dikejutkan berita mengenai perpisahan Tan Cheng Hoe dengan Selangor FC (SFC) selepas pengendali itu mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya secara serta-merta.
SFC dalam satu kenyataan menjelaskan Cheng Hoe membuatkan keputusan itu untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih di sebuah kelab di Thailand.
Baca Juga:
- Tan Cheng Hoe: 2024/25 Musim Yang Mencabar Buat Selangor
- Tan Cheng Hoe: Kehadiran Ramai Pemain Import Dapat Wujudkan Persaingan Sihat
- Bintang Muda Kuala Lumpur City Semakin Hampir Sertai Selangor
“SFC juga sudah menerima bayaran pampasan berdasarkan kontrak beliau. SFC ingin berterima kasih kepada Cheng Hoe atas usaha dan sumbangan beliau untuk kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa hadapan,” tulis kenyataan rasmi SFC.
Namun begitu, identiti kelab Thailand yang bakal disertai bekas jurulatih Kedah itu mula didedahkan menerusi laman sosial.
Menurut wartawan Astro Arena, Police Tero FC yang kini berada di tangga 14 dalam saingan Liga Premier Thailand berminat untuk menandatangani Tan Cheng Hoe.
🚨 Official and comfirmed, Tan Cheng Hoe letak jawatan sebagai jurulatih Selangor dan difahamkan Police Tero FC antara kelab Thai League 1 yang berminat menandatangani bekas jurulatih Harimau Malaya itu. 🎯✈️🇹🇭✍️@ASTROARENA https://t.co/ImJqYpP2bi
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 28, 2024
Police Tero kini dikendalikan oleh bekas jurulatih skuad B-23 Thailand, Woorrawoot Srimaka yang pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sebagai pemain import pasukan Kelantan FA pada musim 2005/2006.
Dalam 5 perlawanan terakhir Liga Premier Thailand, pasukan itu gagal mencatat sebarang kemenangan dan hanya sekali mengutip 1 mata ketika menentang Bangkok United.
Kehadiran jurulatih baharu sangat diperlukan oleh pasukan tersebut untuk membantu memperbaiki kedudukan liga dan mengelakkan daripada tersingkir ke saingan divisyen 2.
Sebagai rekod, sejak dilantik pada September 2022, Cheng Hoe berjaya membantu SFC menjadi naib juara Piala Malaysia 2022 dan juga naib juara Liga Super Malaysia 2023.
Ini sekali gus memastikan pasukan itu layak secara automatik ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk musim 2024/2025.