Nama Tan Cheng Hoe kembali menjadi bualan apabila dikaitkan dengan jawatan pengendali pasukan Liga Super, Terengganu FC selepas Tomislav Steinbruckner ditamatkan kontrak pada 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Harimau Malaya itu menafikan akan menyertai Terengganu sebaliknya mahu teruskan kerjaya membimbing kelab di luar negara.

Baca Juga:

“Saya pun tak tahu apa berita pun dan saya tak dengar apa-apa berita dari Terengganu FC. Jadi saya fikir itu khabar angin sahaja.

“Saya belum putuskan apa-apa, kalau ada peluang saya nak teruskan kerjaya di luar negara lagi.

“Saya tak tahu berapa lama saya akan dapat tawaran itu tapi kerja jurulatih memang macam itu. Kita tak boleh tergesa-gesa, kena sabar,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Cheng Hoe sebelum ini membimbing kelab Thailand, Police Tero FC bagaimanapun ia tidak bertahan lama selepas pasukan itu tersingkir ke divisyen dua.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: Police Tero

Sepanjang Cheng Hoe memegang jawatan sebagai pengendali pasukan, Police Tero meraih dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan sekaligus menamatkan saingan di tangga kedua tercorot dalam carta liga.

Sebagai rekod, pasukan yang pernah diperkuatkan oleh Dominic Tan dan Mohamadou Sumareh itu hanya mengutip 28 mata daripada 30 perlawanan liga pada musim 2023/2024.

Beliau pernah menyuarakan hasrat mahu kekal di Thailand kerana ini merupakan pengalaman pertama menguruskan kelab di luar Malaysia.

Bekas pengendali Selangor dan Kedah itu ketika ini masih tidak menyertai mana-mana pasukan selepas berpisah dengan Police Tero, Jun lalu.