Erik Ten Hag menegaskan beliau tidak akan mengucapkan “good bye” (selamat tinggal) kepada penyokong Manchester United selepas aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini walaupun kedudukannya sebagai pengurus pasukan itu belum selamat.

Manchester United akan menerima kunjungan Newcastle United di Old Trafford, awal pagi ini. Mereka memerlukan kemenangan untuk merebut kedudukan keenam EPL musim ini.

Baca Juga:

Pengendali dari Belanda itu menegaskan bahawa perlawanan itu nanti bukan majlis perpisahannya, walaupun belum jelas sama ada dia akan kekal di kelab itu selepas musim panas.

“Selamat tinggal? Untuk saya? Ia tidak (berdasarkan) bagaimana saya merasainya dan bagaimana saya melihatnya,” kata Ten Hag.

“Bukan cara saya untuk memulakan pusingan penghormatan itu untuk peminat, tidak. Mengharungi detik bagus dan sukar, kami bersama dan peminat menunjukkannya bahawa kami bersama,” tambahnya.

Ten Hag masih perlu membimbing skuad The Red Devils untuk perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester City pada 25 Mei depan.

Beliau berdepan musim yang buruk dalam saingan EPL, namun pengendali berusia 54 tahun itu berkata dia masih mendapat sokongan majoriti penyokong.

“Di stadium, di tempat lawan dan di laman sendiri, mereka sentiasa menyokong pasukan dan menyokong saya. Termasuk apabila saya berada di tempat awam, ramai yang datang kepada saya.

“Hampir tiada reaksi negatif, peminat memahami di mana kami berada. Peminat memahami kelab ini sedang dalam peralihan dan peminat memahami masalah besar yang kami terpaksa hadapi terutamanya di bahagian penting.” katanya.