Lapan wakil negara berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2025 yang berlangsung di Sydney.

Sektor beregu lelaki cemerlang dengan lima wakil manakala perseorangan lelaki, wanita dan beregu campuran masing-masing dengan satu wakil.

Baca Juga:

Man Wei Chong-Tee Kai Wun mara ke pusingan 16 selepas menundukkan wakil Chinese Taipei, Chiang Chien Wei-Wu Hsuan Yi 23-21, 21-16 dalam aksi selama 38 minit.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan satu lagi pasangan Chinese Taipei, Zhi Wei He-Huang Jui Hsuan 21-10, 21-10.

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri mencipta kejutan apabila menewaskan beregu nombor satu Chinese Taipei iaitu Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dalam aksi ‘straight set’ 21-10, 21-13 manakala Wan Arif Junaidi-Yap Roy King menundukkan Philip Halim-Landon Hosea Kurniawan dari Australia 21-8, 21-11.

Sementara itu pemain berpengalaman, Goh V Shem yang bergandingan dengan Choi Sol Gyu dari Korea Selatan berjaya mengenepikan cabaran pasangan tuan rumah, Rapchael Chris Deloy-Adam Jefrey 21-8, 21-13.

Aidil Sholeh Ali Sadikin serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula menewaskan rakan senegara setelah Aidil mengecewakan Eogene Ewe 21-15, 21-12 dan Tang Jie-Ee Wei menunjukkan jalan keluar buat Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 21-19, 21-9.

Pemain perseorangan wanita, Wong Ling Ching pula menang ke atas Amy Wang dari Australia dengan kemenangan 21-10, 21-11.

Terbuka Australia 2025 merupakan kejohanan berstatus Super 500 dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM2 juta.

Wakil Negara Di Pusingan 16 Terbuka Australia

Perseorangan Lelaki

1) Aidil Sholeh Ali Sadikin

Perseorangan Wanita

2) Wong Ling Ching

Beregu Lelaki

3) Man Wei Chong-Tee Kai Wun

4) Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani

5) Wan Arif Junaidi-Yap Roy King

6) Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri

7) Goh V Shem-Choi Sol Gyu (Korea Selatan)

Beregu Campuran

8) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei