Gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan perjuangan dalam saingan Terbuka Indonesia 2024 selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Berdepan Kim Won Ho-Jeong Na Eun yang berada di ranking kelapan dunia jelas tidak langsung menjejaskan tumpuan Kian Meng dan Pei Jing.

Baca Juga:

Sebaliknya mereka mempamerkan corak permainan cukup bertenaga terutamanya pada set pertama hingga mencatatkan kemenangan mudah 21-8.

Walaupun diberikan tentangan sengit pada set kedua, gandingan yang pernah muncul juara Terbuka Korea Selatan 2022 itu mengesahkan kemaraan dengan kemenangan 21-19.

Menanti Kian Meng-Pei Jing di peringkat separuh akhir esok ialah pasangan dari China yang berada di ranking kelima dunia iaitu Jiang Zhenbang-Wei Ya Xin.

Mereka mara selepas menyingkirkan pasangan ranking kedua dunia yang turut merupakan rakan senegara, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping 21-17, 11-21, 21-16.

Manakala, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula menyerap tekanan hebat dijelmakan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Chinese Taipei untuk menang 21-17, 18-21, 21-10.

Pasangan negara itu menanti pemenang antara satu lagi gandingan dari Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan yang akan beraksi menentang wakil tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Sementara itu Leong Jun Hao, Lee Zii Jia, Pearly Tan-M. Thinaah gagal meneruskan kecemerlangan selepas tunduk kepada lawan masing-masing.

Wakil terakhir negara,  Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan beraksi sebentar lagi menentang pasangan ranking kedua dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.