Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa berpuas hati dengan kedudukan selaku naib juara Terbuka Jepun 2025 selepas tewas kepada lawan masing-masing pada aksi final sebentar tadi.
Pearly-Thinaah akur dengan kehebatan pasangan ranking nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tang Ning 15-21, 14-21 dalam tempoh masa 45 minit.
Baca Juga:

Ia merupakan kekalahan kelima berturut-turut dialami Pearly dan Thinaah ke atas lawan dari China itu dimana kali terakhir mereka merasai nikmat kemenangan adalah pada final Terbuka Hong Kong 2024, Disember tahun lalu.
Dua Gelaran Naib Juara Buat Terbuka Jepun 2025
Nasib sama turut dikongsi Sze Fei-Nur Izzuddin yang gagal membendung ketangkasan pasangan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Tewas 16-21 pada set pertama, Sze Fei-Nur Izzuddin cuba untuk bangkit pada set kedua tetapi beberapa kesilapan mudah pada lewat permainan memberikan ruang buat bakal pasangan ranking pertama dunia itu menjarakkan lagi kedudukan.

Cubaan Sze Fei-Nur Izzuddin cuba untuk bangkit ketika 14-19 juga tidak kesampaian untuk kejuaraan menjadi milik Won Ho-Seung Jae dengan 21-17.
Dengan kekalahan tersebut, Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani membawa pulang wang tunai bernilai $33,250 (RM 141,183.37).
Tumpuan kem badminton negara selepas ini akan beralih ke Terbuka China yang merupakan kejohanan berstatus Super 1000.
