Pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzudin dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Singapura 2024 yang berlangsung di Singapore Indoor Stadium.
Sze Fei-Nur Izzudin yang dilihat sudah mendapat sentuhan selepas kembali bersama pada Jun tahun lalu berjaya menundukkan pasangan ranking kelapan dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dalam aksi ‘straight set’.

Baca Juga:
- Video: Aksi Padu Lee Zii Jia Pukau Peminat Badminton Dunia
- Saranan Mendiang Bapa Rintis Karier Gemilang Rexy Mainaky Takluk Dunia Badminton
- Lee Chong Wei Pemain Badminton Paling Kaya, Miliki Kekayaan Bernilai RM330 Juta?
Kemenangan yang sekali gus menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-turut Sze Fei dan Nur Izzudin di tangan gandingan dari China itu.
Pasangan negara itu tampil dengan cukup bertenaga terutamanya pada set pertama untuk menang 21-13 dan momentum tersebut diteruskan dengan kemenangan 21-16 bagi menempah tiket ke suku akhir.
Mereka akan menanti pemenang antara satu lagi pasangan China, He Ji Ting-Reng Xiang Yu yang berdepan Daniel Lundaard-Mads Vastegaard sebentar nanti.
Sebelum itu, pasangan Tang Jie-Ee Wei mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas berjaya menundukkan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-17, 21-18.
Tang Jie dan Ee Wei pula akan bertemu juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung yang menundukkan Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.
Sementara itu, pasangan yang baharu bergelar suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie gagal meneruskan kecemerlangan pada set pertama apabila terpaksa menarik diri di set ketiga ekoran kecederaan dialami Goh Soon Huat.
Kejohanan Terbuka Singapura 2024 merupakan saingan berstatus Super 750 dalam kalendar kejohanan dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).