Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan rasmi tergempar dikeluarkan sebentar tadi telah mengumumkan bahawa kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend ditamatkan melalui persetujuan bersama antara beliau dan FAM, berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

Dalam perkembangan sama, kontrak Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Peter Cklamovski dan dua staf teknikal skuad senior, Matthew Smith serta Seiya Imazaki juga ditamatkan atas persetujuan bersama berkuat kuasa pada 16 Jun 2026.

Tidak cukup dengan itu, kontrak Ketua Jurulatih Pasukan B-23 Kebangsaan, Nafuzi Zain dan jurulatih penjaga gol, Mohd Yazid Mohd Yassin turut ditamatkan atas persetujuan bersama berkuat kuasa pada 15 Jun 2026.

Dalam kenyataan dikeluarkan laman sesawang badan induk bola sepak negara itu, FAM menghormati keputusan yang dibuat dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala jasa, komitmen serta sumbangan yang telah dicurahkan mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama pasukan kebangsaan.

“Bagi memastikan kelancaran hala tuju dan kesinambungan program pasukan kebangsaan, FAM sedang mengambil langkah-langkah yang sewajarnya berhubung pengisian jawatan-jawatan berkenaan.”

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai pasukan kebangsaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.”

Sumber