Kejayaan skuad Thailand menewaskan Kyrgyzstan 2-0 pada aksi pertama kumpulan F saingan Piala Asia 2023 semalam bukan sahaja mengembirakan penyokong tetapi turut memberikan habuan lumayan kepada pemain.

Ini kerana pengurus Thailand, Nualphan Lamsam atau dikenali sebagai Madam Pang menjanjikan bonus bernilai 1 juta baht (RM132,400) bagi setiap satu mata yang kutip dalam perlawanan peringkat kumpulan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Kemenangan ke atas Kyrgyzstan menyaksikan Thailand memperolehi 3 mata penuh sekaligus bakal diberikan bonus sebanyak 3 juta baht (RM397,200) untuk satu pasukan.

Jika hadiah itu dibahagikan kepada 26 pemain, maka jumlah bonus yang dijangka diterima oleh setiap pemain ialah sebanyak RM15,000.

Pengumuman ganjaran tersebut telah meningkatkan motivasi dan semangat pemain Thailand untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Asia kali ini.

Ini bukan kali pertama Madam Pang memberikan ganjaran lumayan kepada skuad Thailand kerana sebelum ini beliau mengumumkan setiap satu mata yang dikutip dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 akan diberikan bonus sebanyak 3 juta baht (RM397,200).

Tidak cukup dengan itu, pengerusi kelab Port FC itu turut memberikan ganjaran sebanyak 10 Juta Baht atau sekitar RM1.3 Juta sekiranya Thailand berjaya mara ke pusingan ketiga.

Sejak dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan, Madam Pang sentiasa memberikan ganjaran mewah kepada pemain dan pegawai setiap kali skuad Gajah Perang itu memenangi kejuaraan atau menewaskan seteru utama di peringkat Asia Tenggara.

Sebelum ini, skuad Thailand diberikan ganjaran sebanyak 10 Juta Baht selepas pasukan itu berjaya mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF Mitsubishi Electric tahun lalu.