Jenama produk gaya hidup aktif dari Sweden, Thule, terus memperkukuh kehadirannya di rantau Asia Pasifik menerusi penganjuran Thule Expo 2026 yang berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya.
Acara eksklusif ini menghimpunkan kira-kira 180 tetamu termasuk 80 pengedar dari rantau Asia Pasifik, rakan niaga tempatan serta wakil media bagi memperkenalkan rangkaian produk terbaharu Thule, khususnya dalam kategori keselamatan dan mobiliti keluarga.
Antara tarikan utama acara kali ini ialah pelancaran serta demonstrasi secara langsung rangkaian kerusi keselamatan kanak-kanak (car seat) terbaharu Thule yang menampilkan tiga model utama iaitu Thule Maple, Thule Elm dan Thule Palm.
Majlis tersebut turut menampilkan ucapan pembukaan oleh Naib Presiden Jualan Thule, Daniel Larsson, bersama wakil serantau. Sesi demonstrasi produk pula dikendalikan oleh Pengurus Produk, Ahmad, yang memperlihatkan bagaimana kerusi keselamatan Thule boleh dipindahkan dengan mudah daripada kenderaan ke sistem stroller keluaran jenama berkenaan.
Demonstrasi tersebut turut mengetengahkan aspek keselamatan, keselesaan ergonomik serta kemudahan penggunaan yang direka untuk memenuhi keperluan ibu bapa moden dalam menjalani rutin harian bersama anak-anak.
Tiga Model Kerusi Keselamatan Baharu Thule

Antara produk yang menjadi tumpuan ialah Thule Maple, sebuah kerusi keselamatan bayi yang direka khas untuk bayi baru lahir sehingga usia muda. Model ini menawarkan ciri keselamatan bertaraf tinggi, posisi sandaran boleh laras untuk keselesaan tambahan serta keserasian dengan sistem stroller Thule.
Seterusnya, Thule Elm hadir sebagai kerusi keselamatan kanak-kanak kategori toddler dengan fungsi putaran 360 darjah. Ia direka untuk kegunaan jangka panjang dengan sokongan posisi menghadap ke belakang yang lebih lama serta beberapa pilihan posisi sandaran bagi memastikan keselesaan anak sepanjang perjalanan.
Melengkapkan rangkaian tersebut ialah Thule Palm, kerusi keselamatan jenis high-back booster yang memenuhi piawaian i-Size. Mengutamakan konsep bahawa keselesaan memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan, model ini dilengkapi sistem panduan tali pinggang yang intuitif, sokongan ISOFIX serta reka bentuk yang membolehkan sehingga tiga kerusi dipasang sebaris di bahagian tempat duduk belakang bagi pelbagai jenis kenderaan.
Selepas sesi pelancaran utama, para tetamu turut berpeluang meneroka produk secara lebih dekat menerusi zon pengalaman khas bertemakan Active with Kids. Ruang tersebut menampilkan koleksi car seat terbaharu, paparan produk, pilihan warna serta pelbagai aksesori perjalanan untuk keluarga.
Menerusi penganjuran ini, Thule bukan sahaja memperkenalkan inovasi terbaharunya, malah memperlihatkan komitmen jenama Sweden itu dalam menyediakan penyelesaian mobiliti keluarga yang menggabungkan keselamatan, keselesaan dan gaya hidup aktif.