Peminat membidas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengelola Liga Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) iaitu Datuk Stuart Ramalingam selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau baru-baru ini.

Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam, Stuart menyatakan insiden yang melibatkan dua pemain negara iaitu Faisal Halim dan Akhyar Rashid tidak menjejaskan imej Liga Malaysia.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Faisal mengalami kejadian disimbah asid oleh individu tidak dikenali manakala Akhyar disamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu.

“Insiden ini tidak mencemarkan imej MFL, itu satu situasi yang kita perlu tangani. Saya tak mahu kata ia mencemarkan imej MFL, saya kata kita perlu tangani isu ini dengan sebaiknya,” kata Stuart.

Kenyataan ini nyata kurang disenangi oleh rata-rata peminat bola sepak tanah air dimana ramai menganggap Stuart kurang sensitif dengan isu yang berlaku ketika ini.

Ketika ditanya sama ada perlawanan pembukaan Liga Malaysia musim ini yang juga aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor pada Jumaat ini akan ditunda selepas dua kejadian yang berlaku, Stuart menafikan perkara tersebut dan perlawanan tetap diteruskan.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan Faisal Halim kini melecur di tahap empat selepas disimbah asid baru-baru ini.

“Selepas pembedahan pertama, doktor pakar mengesan ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat. Berdasarkan penilaian, Faisal akan melalui sekurang-kurangnya lagi dua pembedahan yang akan ditentukan doktor. Sekarang beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi), sedang dipantau dengan rapi oleh pakar.

“Apa yang saya boleh kata (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung dan mulut ada sikit. Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,” katanya.