Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A, Tan Sri Tony Fernandes memberikan sebab mengapa tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mahal khususnya ketika musim perayaan.
Menurut Tony, AirAsia sentiasa menawarkan tiket dengan harga murah apabila bukan musim perayaan tetapi harga tiket akan meningkat naik pada musim perayaan dan beliau mahu rakyat Malaysia untuk memahami situasi yang dihadapi syarikatnya.
Baca Juga:
- ‘Terminal Bas Dah Macam Airport’ – Pelancong Luar Negara Puji Stesen Bas TBS
- Serendah RM25, AirAsia Tawar Kembali Promosi Tempat Duduk Percuma Bermula Hari Ini
- MAS, AirAsia Dan Batik Air Sedia Bantu Penumpang MYAirline Yang Terkesan
“Tolong faham situasi kami. Kami mengalami kerugian sebanyak RM4 bilion tahun lepas. Kami kehilangan RM 400 juta pada suku terakhir tahun ini. Syarikat juga perlu membuat duit juga.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menurunkan tambang (KL-KK), tetapi kami masih mempunyai tambang yang rendah sepanjang tahun,” katanya menurut laporan Malay Mail.
Dalam masa yang sama, Tony Fernandes berkata tambang antara Sabah dan ibu negara tidak mungkin turun lebih rendah kerana syarikat penerbangan juga terpaksa berdepan dengan kos bahan api yang melambung tinggi ekoran nilai dolar AS yang turut meningkat naik.
“Saya tidak boleh mengawal harga minyak. Harga minyak melambung tinggi dan dolar AS kukuh. Tujuh puluh peratus daripada kos kami dikira dalam dolar AS. Selagi dolar AS kukuh, kos kita akan meningkat.
“Falsafah kami adalah untuk menyediakan tambang serendah mungkin, jadi jika kos jatuh, tambang akan dikurangkan. Tetapi kami masih jauh lebih murah daripada tempat lain,” katanya.
Tiket penerbangan yang mahal antara Malaysia Timur dan Barat telah menjadi topik perbincangan yang cukup lama terutamanya bagi rakyat Sabah dan Sarawak, yang mana harga tiket semakin mahal dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Semasa musim perayaan, penerbangan bukan sahaja terhad, tetapi juga mencecah sehingga ribuan ringgit setiap perjalanan.