Jude Bellingham terlepas daripada hukuman yang sama dikenakan ke atas bintang Paraguay, Miguel Almiron apabila dia menutup mulut ketika bercakap dalam perlawanan Piala Dunia yang menyaksikan England seri tanpa jaringan menentang Ghana.

Bellingham yang menerima anugerah ‘Pemain Terbaik Perlawanan’ susulan aksi cemerlangnya di Boston, beraksi selama 73 minit sebelum digantikan oleh Morgan Rogers.

Pemain tengah Real Madrid itu turut terlibat dalam pertengkaran ketika waktu rehat dengan ketua jurulatih Ghana, Carlos Queiroz yang tidak berpuas hati dengan satu terjahan yang dilakukan Bellingham ke atas salah seorang pemainnya.

Dalam situasi berbeza pada perlawanan tersebut, Bellingham turut dilihat berbual dengan kapten Ghana, Jordan Ayew sebelum kedua-dua pemain itu digantikan pada separuh masa kedua.

Pemain berusia 22 tahun itu menutup mulutnya dengan tangan ketika bercakap dengan Ayew. Sesuatu yang dalam keadaan tertentu, telah dilarang oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam Piala Dunia 2026.

Dalam perlawanan yang menyaksikan Paraguay menang 1-0 ke atas Turkiye, Almiron dilayangkan kad merah terus selepas dia menutup mulut ketika berlaku pertengkaran lisan dengan pertahanan lawan, Mert Muldur.

Almiron menjadi pemain pertama yang dikenakan tindakan di bawah peraturan baharu FIFA itu dan dikenakan penggantungan satu perlawanan, sekali gus menyaksikan beliau terlepas perlawanan kumpulan terakhir Paraguay menentang Australia.

Kenapa Bellingham Tak Dilayangkan Kad Merah?

Alasan Jude Bellingham tidak menerima kad merah adalah kerana tafsiran FIFA mengenai apa yang dikategorikan sebagai kad merah bagi pemain yang menutup mulut ketika bercakap.

Sebenarnya, tindakan menutup mulut ketika bercakap tidak dilarang oleh FIFA, sebaliknya peraturan itu hanya melibatkan situasi pertelingkahan yang lebih agresif.

Peraturan tersebut diperkenalkan selepas pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni, dikenakan penggantungan enam perlawanan oleh UEFA kerana menggunakan kata-kata berbaur homofobia ketika perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada Mac.

Pemain Argentina itu pada awalnya dituduh mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman terhadap Vinicius Junior, namun UEFA tidak dapat mencapai tahap bukti yang diperlukan untuk mensabitkan kesalahan tersebut sebahagiannya kerana Prestianni menutup mulutnya dengan jersi ketika bercakap.

Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina, menjelaskan peraturan tersebut dalam satu taklimat pra-Piala Dunia, menurut sumber laporan Sport Bible.

“Pemain masih boleh menutup mulut dengan lengan atau jersi kerana mereka mungkin sedang berbual dengan rakan-rakan,” kata bekas pengadil dari Itali itu.

“Adalah perkara biasa untuk berbual sebelum, semasa atau selepas perlawanan. Jadi jika perbualan itu bersifat mesra, mereka boleh terus melakukannya tanpa sebarang masalah.”

“Namun, apabila perbualan itu bersifat konfrontasi, menutup mulut bermaksud anda berkemungkinan sedang melakukan sesuatu yang sangat tidak baik, dan hukumannya ialah kad merah.”

Kenyataan peraturan itu turut terpakai kepada Lionel Messi, yang menutup mulutnya dengan tangan ketika Argentina menang 3-0 ke atas Algeria dalam perlawanan pembukaan kumpulan Piala Dunia.

Namun, kerana Messi, yang kini merupakan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia, hanya berkomunikasi dengan rakan sepasukannya semasa taklimat di tepi padang, tiada sebarang tindakan dikenakan.

Sumber