Malaysia mendapat laluan selesa dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 apabila diundi bersama Chinese Taipei, Kazakhstan dan Brunei.

Dengan barisan pemain yang bakal diturunkan, skuad negara dilihat tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir dimana Malaysia merupakan juara bertahan kejohanan.

Baca Juga:

Dalam misi untuk mempertahankan kejuaraan, Malaysia bakal menampilkan Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eogene Ewe bagi perseorangan lelaki.

Manakala, sandaran dalam beregu pula digalas Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.

Daripada tiga pasukan tersebut, hanya Chinese Taipei merupakan pencabar terkuat buat Malaysia dimana mereka membariskan Lin Chun-Yi (ranking ke-21 dunia), Wang Tzu Wei (ke-26), Lee Chia-Hao (ke-34) dan Chi Yu-Jen (ke-39) bagi perseorangan lelaki.

Kekuatan Chinese Taipei jelas di acara beregu yang menyaksikan pasangan ranking ke-10 dunia iaitu Lee Yang-Wang Chi-Lin bakal menjadi sandaran utama disamping Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan (ke-17) serta Lu Ching-Yao-Yang Po Han (ke-26).

Dua pasukan tangga teratas bagi setiap kumpulan akan diundi sekali lagi untuk pertemuan suku akhir.

Sementara itu, pasukan wanita Malaysia juga dijangka tidak berdepan masalah untuk ke suku akhir apabila diundi bersama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu.

Skuad wanita negara akan diperkuatkan dengan kehadiran Goh Jin Wei, K Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman bagi acara perseorangan dan sektor beregu pula menampilkan Pearly Tan, M. Thinaah, Teoh Mei Xing, Goh Pei Kee, Low Yeen Yuan serta Tan Zhing Yi.

Kejohanan BATC 2024 yang dianjurkan Badminton Asia itu bakal berlangsung 13 hingga 18 Februari di Shah Alam.