Undian rasmi pusingan 16 Piala FA 2024/25 telah dijalankan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini dengan sepak mula dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 15 Jun depan.

Keputusan undian tersebut menyaksikan beberapa pertembungan menarik dan bakal mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat.

Baca Juga:

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan pasukan pilihan dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke final sekali lagi pada musim ini berdasarkan kualiti pemain mereka.

Skuad kendalian Hector Bidoglio itu bakal menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC sebelum bertemu PDRM FC atau wakil Liga A1 semi pro, Universiti Malaysia di peringkat suku akhir.

Naib juara Piala FA musim lalu, Kuala Lumpur (KL) City FC pula akan membuat perhitungan dengan Kuching City FC yang dibimbing pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.

Jika KL City menang, mereka dijangka bertemu satu lagi pasukan pilihan iaitu Selangor FC (SFC) yang juga naib juara Liga Super musim lalu. SFC diundi menentang Negeri Sembilan (NSFC).

Kebanyakan peminat meramalkan JDT kemungkinan akan bertemu Selangor di final namun cabaran Terengganu dan Sabah juga tidak boleh dipandang mudah.

Terengganu yang beraksi dalam saingan Piala AFC musim lepas diundi bertemu skuad kendalian Yusri Che Lah, Perak FC.  Lawan yang menanti mereka di peringkat suku akhir ialah Sabah atau KL Rovers.

Satu perlawanan tumpuan melibatkan Sri Pahang menentang Penang FC manakala Kedah Darul Aman (KDA FC) berdepan cabaran pasukan Liga A1 semi pro, Bukit Tambun FC.