Selepas sekian lama beraksi tanpa penaja utama di bahagian depan jersi, Chelsea akhirnya menemui rakan komersial baharu selepas tiga tahun tanpa penaja utama. Berita yang pastinya ditunggu-tunggu peminat setia kelab tersebut.
Kelab London Barat itu sebentar tadi mengumumkan Circle Internet, syarikat yang menerbitkan USDC, mata wang kripto kedua terbesar dunia sebagai penaja utama jersi mereka.
Ditubuhkan pada 2013, Circle merupakan antara syarikat perintis dalam industri aset digital dan memainkan peranan dalam membangunkan sistem kewangan berasaskan internet.
The Blues memulakan musim ini tanpa penaja utama di jersi untuk tahun keempat berturut-turut sejak perjanjian jangka panjang terakhir mereka bersama syarikat telekomunikasi, Three berakhir pada penghujung musim 2022/23.
Sejak itu, Chelsea telah menjalin beberapa kerjasama jangka pendek dengan syarikat kecerdasan buatan (AI), Infinite Athlete dan syarikat hartanah berpangkalan di Dubai, Damac.
Penantian Penyokong Chelsea Berakhir
Kerjasama tersebut menyaksikan logo USDC by Circle akan menghiasi bahagian hadapan jersi Chelsea untuk musim 2026/27 bagi pasukan utama, wanita dan akademi.
Nilai penajaan bagi kerjasama tersebut bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
Namun, laporan awal tahun ini menyebut Chelsea menyasarkan nilai penajaan sekitar £65 juta setahun bagi ruang penaja utama di bahagian hadapan jersi.
Menurut sumber laporan CoinDesk, Circle bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen lanjut berkenaan jalinan kerjasama itu.
Chelsea akan memperkenalkan jersi baharu yang memaparkan logo USDC ketika aksi pertama mereka di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menentang Brighton & Hove Albion pada Ahad nanti.
Kerjasama tersebut mencipta sejarah apabila menjadi kali pertama sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berasaskan mata wang kripto menjadi penaja utama jersi kelab EPL.
Sebelum ini, syarikat pertukaran mata wang kripto seperti OKX dan Kraken turut terlibat dalam penajaan kelab EPL, namun kedua-duanya hanya menjadi penaja lengan jersi Manchester City dan Tottenham Hotspur.
Kraken juga tidak mendedahkan nilai kerjasama mereka, namun perjanjian OKX dilaporkan bernilai $70 juta setahun pada 2023.