Perlawanan pertama pra musim Liga Malaysia telah berlangsung semalam di mana Kuala Lumpur City FC turun menentang Negeri Sembilan yang manamenyaksikan video bantuan pengadil (VAR) diuji buat kali pertama untuk saingan liga Malaysia bagi musim 2024-2025 nanti.

Beberapa keputusan pengadil pada perlawanan semalam iaitu Zamzaidi Katimin menyaksikan teknologi VAR diaplikasikan dalam perlawanan itu.

Baca Juga:

Meskipun tewas tipis dalam perlawanan semalam, Nasrullah Hanif, kapten Negeri Sembilan menyifatkan pasukannya semakin bertambah baik untuk memulakan musim baharu nanti.

VAR

Jelasnya, dia dan rakan sepasukan berada dalam motivasi terbaik selain merasakan Negeri Sembilan akan bertambah baik berbanding musim lalu.

Nasrullah juga sangat teruja dengan teknologi tersebut yang akan digunakan bagi musim baharu nanti dan menyifatkan ini sebagai satu langkah untuk meningkatkan kualiti permainan dalam saingan Liga Malaysia.

“Saya harap mutu pengadilan untuk musim ini akan bertambah baik dengan bantuan VAR ini” tambah Nasrullah.

Sementara itu, ketua jurulatih KL City Miroslav Kuljanac pula berkongsi pandangan bahawa pengunaan VAR dalam negara ini penting dan memerlukan masa untuk benar-benar sempurna.

Beliau mengakui, setiap liga di seluruh dunia yang mengunakan bantuan pengadil itu perlukan masa untuk memastikan sistem tersebut sempurna untuk diguna pakai.

“Di Croatia, saya sudah terlibat dengan VAR dan kelewatan untuk mengetahui keputusan itu normal,” tambah beliau.

“Sistem VAR ini hanya memerlukan masa lagi.” ujarnya lagi.

Perlawanan pra musim Liga Malaysia akan diteruskan lagi dengan beberapa aksi yang akan menutup tirainya pada 3 Mei nanti.

Zamzaidi Katimin memeriksa VAR sebanyak enam kali dimana tiga kali untuk situasi sepakan penalti, satu untuk situasi ofsaid dan dua untuk insiden kad merah.

Zamzaidi memberikan satu sepakan penalti kepada KL City yang disempurnakan Josue dan melayangkan satu kad merah kepada Brendan Gan dalam perlawanan semalam akan tetapi empat dari enam semakan yang dibuat tidak disiarkan semula di dalam siaran langsung di televisyen seperti yang berlaku di liga luar negara yang menggunakan VAR.

Enam semakan di atas menyaksikan separuh masa pertama menerima 13 minit masa tambahan manakala separuh masa kedua menerima 10 minit masa tambahan.