Pemain kelahiran Thailand, Muhammad Osamanmusa terus membuktikan sentuhan penyudah cukup ampuh dimilikinya apabila meledakkan jaringan cantik pada aksi Liga Futsal Sepanyol 2023/24, malam tadi.
Lebih menarik gol itu hadir ketika kelab beliau, Cordoba Patrimonio de la Humanidad menewaskan pasukan ditangga ketiga liga, Jaen Paraiso Interior FS 7-4 pada aksi yang berlangsung di gelanggang lawan.
Baca Juga:
- Muhammad Osamanmusa: Kerja Keras Sejak Kanak-Kanak Berhasil, Kini Sebaris Bintang Dunia
- 4 Pemain Asia Yang Cemerlang Dalam Kempen Liga Futsal Sepanyol 2023/24
- Kenali Adisak Benjasiriwan, ‘Bapa Kemajuan Futsal Thailand’
Ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas 10 minit beraksi, Osamanmusa yang beraksi selaku pivot melakukan ‘turning’ cantik melepasi kawalan pemain lawan lalu meledakkan rembatan padu menerusi kaki kiri.
Rembatan yang cukup laju umpana roket itu tidak mampu diselamatkan penjaga gol Jaen, Dudu.
Ia merupakan jaringan kelapan peribadi dicetak pemain berusia 26 tahun itu dalam saingan liga musim ini.
Jumlah yang menjadikan Muhammad Osamanmusa sebagai penjaring kedua terbanyak bagi pemain dari benua Asia.
Beliau hanya ketinggalan tiga gol dibelakang bintang Mallorca Palma Futsal dari Iran, Hossein Tayebi Bidgoli.
Selain mereka berdua yang sentiasa menjadi tonggak bagi skuad kebangsaan masing-masing, terdapat beberapa orang lagi pemain dari Asia turut beraksi di Liga Futsal Sepanyol.
Pemain yang dimaksudkan ialah Moslem Oladghobad dan Salar Aghapour dari Iran yang beraksi bersama Mallorca Palma manakala Saied Ahmad Abbasi pula mewakili Vina Albali Valdepenas.
Sementara itu empat pemain lagi merupakan kelahiran Jepun iaitu Kokora Harada (Barcelona), Antonio Massanori Hirata Neto (Santa Coloma), Kaito Yamada (Inter Movistar) dan Shunta Uchida (Peniscola FS).
Uchida bagaimanapun sudah meninggalkan kelab tersebut pada pertengahan musim.