Barisan pemain serta barisan jurulatih dan teknikal skuad kebangsaan Norway meraikan kejayaan mara ke pusingan 32 Piala Dunia 2026 dengan cara yang cukup menarik.

Hal ini kerana kesemua mereka duduk di atas padang dan melakukan sambutan ‘rowing’ yang dipopularkan oleh penyokong mereka semasa Piala Dunia selepas menang tipis 3-2 ke atas Senegal.

Pada penampilan pertama mereka di pusingan akhir sejak 1998, penyokong Norway yang memakai serba merah telah melakukan aksi “Viking row” ini di stadium.

Lebih menarik, keraian tersebut turut dilakukan oleh para penyokong Norway yang berada di Oslo.

Skuad Norway Berpesta

Martin Odegaard dan Erling Haaland yang masing-masing menjaringkan gol untuk membantu kemenangan itu telah mengumpulkan skuad untuk melakukan “row” tersebut di hadapan penyokong.

Lebih memberikan kesan, mereka terpaksa menunggu ketibaan jurulatih Stale Solbakken yang berlari naik tangga di kawasan penonton untuk mencium dan memeluk isterinya selepas wisel penamat.

Dengan skuad duduk dalam barisan seperti dalam sebuah kapal Viking, Solbakken kemudian menyelit di bahagian tengah di belakang Haaland, manakala Odegaard mula mengetuk dram untuk mencipta suasana kemuncak yang penuh kegembiraan.

Rakaman televisyen turut menunjukkan penyokong di Trondheim turut serta dalam sambutan itu, menjadikan keraian tersebut menyatukan penyokong Norway di seluruh dunia.

Namun, pemain tengah Patrick Berg mendedahkan bahawa dia pada awalnya tidak menyangka aksi “row” itu akan menjadi satu trend yang popular.

“ada awalnya, saya rasa orang ramai agak ragu-ragu  sama ada ini sesuatu yang akan kekal atau hanya trend yang akan hilang begitu sahaja. Tetapi ia sudah menjadi sebahagian besar daripada kempen Piala Dunia kami setakat ini,” ujar Berg menurut sumber laporan Reuters.

“Melakukannya di New York adalah saat yang sangat indah untuk kami bersama. Mereka sudah mula melakukannya di Oslo sebelum kami berlepas ke Piala Dunia, dan sekarang saya rasa seluruh dunia sudah mengetahuinya. Saya dapat merasakan tenaga yang kami cipta bersama (penyokong) itu sangat penting untuk kami.”