Bintang Brazil, Vinicius Junior akhirnya bersuara selepas pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia susulan kekalahan di tangan Norway.
Ketika perlawanan masih terikat 0-0, penyerang Real Madrid itu memilih untuk tidak mengambil sepakan penalti penting dan membiarkan Bruno Guimaraes melakukannya.
Keputusan itu jelas mencetuskan perdebatan hangat selepas Guimaraes gagal menyempurnakan sepakan penalti berkenaan apabila sepakannya diselamatkan penjaga gol Norway, Orjan Nyland.
Keadaan yang sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan perlawanan dimana akhirnya menyebabkan Brazil mengalami kekalahan 1-2.
Vinicius Dedah Sebab Tak Ambil Penalti
Mengulas mengenai kesan daripada keputusan tersebut, Vinicius Junior menjelaskan bahawa pemilihan siapa yang mengambil sepakan penalti bukanlah keputusannya sendiri.
Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak pernah mengelak daripada tekanan atau tanggungjawab, namun merasakan adalah penting untuk menghormati hierarki yang telah ditetapkan oleh barisan kejurulatihan.
“Kenapa saya tidak mengambil penalti itu? Sebab ia adalah keputusan jurulatih. Saya tidak pernah bersembunyi atau mengelak daripada tanggungjawab saya,” kata Vinicius menurut sumber laporan Goal.
Pemain berusia 25 tahun itu sering dikritik kerana sikapnya di atas padang, namun pada kesempatan ini beliau menegaskan komitmennya terhadap keharmonian pasukan berbanding kepentingan peribadi.
“Di Real Madrid, setiap kali jurulatih meminta saya mengambil penalti, saya akan melakukannya. Di sini, saya mengikut keputusan yang telah dibuat.”
“Ini menunjukkan bahawa saya tidak bersikap pentingkan diri atau bertindak dengan niat buruk semata-mata untuk mencari perhatian.”
Walaupun Bruno Guimaraes menerima kritikan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut, Vinicius pantas menunjukkan sokongan kepada rakan sepasukannya yang kecewa.
Pemain sayap itu berharap satu kesilapan tidak akan menentukan keseluruhan perjalanan karier Guimaraes bersama pasukan kebangsaan Brazil.
“Saya berharap karier Bruno Guimaraes bersama pasukan kebangsaan Brazil tidak akan tercalar hanya disebabkan kesilapan ini,” tambah Vinicius lagi.