Penjaga gol Cape Verde, Vozinha mendedahkan detik menyentuh hati yang berlaku antara beliau dan Lionel Messi selepas pasukannya tersingkir dengan penuh kekecewaan daripada Piala Dunia 2026 di tangan Argentina.
Walaupun pasukan bukan pilihan itu tewas tipis, aksi cemerlang penjaga gol tersebut tidak terlepas daripada perhatian pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu.
Messi sendiri membuka tirai jaringan pada minit ke-29 dengan meledakkan gol ke-20 beliau di pentas Piala Dunia. Namun, Cape Verde enggan mengalah apabila dua kali bangkit untuk menyamakan kedudukan.
Akhirnya skuad kendalian Bubista itu dibolosi gol ketiga yang menjadi penentu pada minit ke-111 sekali gus menamatkan kemaraan mereka dalam kejohanan itu.
Vozinha Tampil Cemerlang Di Piala Dunia 2026
Vozinha yang dianggap wira utama di sebalik perjalanan luar biasa Cape Verde itu mencatatkan 18 penyelamatan dalam empat perlawanan.
Beliau turut melakukan beberapa aksi menyelamat yang luar biasa bagi memastikan pasukannya terus bersaing sehingga ke penghujung perlawanan.
“Saya menghampiri Messi selepas perlawanan. Dia memeluk saya dan berkata, ‘Kamu memang hebat. Rakyat negara kamu sepatutnya berbangga dengan kamu’,” ujar Vozinho menurut sumber laporan Goal.
“Saat itu amat bermakna buat saya. Mendengar kata-kata seperti itu daripada seseorang seperti Leo Messi benar-benar memberi makna yang besar kepada saya.”
“Saya mengucapkan terima kasih kepadanya dan berkata, ‘Terima kasih, Leo. Kamu memang yang terbaik.’ Kemudian saya bertanya sama ada kami boleh bertukar jersi. Leo berkata dia akan memberikan jersinya kepada saya di terowong pemain selepas selesai sesi temu bual.”