Seorang wanita yang mendakwa dia hamil anak Son Heung Min didapati bersalah oleh mahkamah kerana memeras ugut. Selan itu tindakannya itu jelas fitnah dan cubaan mencemarkan reputasi pemain tersebut.
Oleh itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas wanita tersebut.
Wanita berusia 20-an itu dan seorang lelaki berusia 40-an, yang menjadi rakan subahatnya, didapati bersalah memeras ugut bekas kapten Tottenham itu dengan mendakwa bahawa dia hamil anak Son.
Mahkamah daerah Seoul diberitahu bahawa wanita itu telah mendekati Son tahun lalu dan mendakwa dia sedang mengandungkan anaknya, sedangkan sebenarnya dia sendiri tidak pasti sama ada perkara itu benar, lapor media tempatan.
Wanita itu telah memeras sebanyak 300 juta won ($200,000) atau sekitar RM824 ribu daripada Son dan mengugut untuk mendedahkan dakwaan tersebut kepada umum jika dia tidak menurut.
Menurut agensi berita AFP, wanita itu membelanjakan wang tersebut untuk barangan mewah dan berjenama.
“[Wanita itu] bertegas bahawa dia menerima wang tersebut sebagai pampasan dan menggambarkan dirinya sebagai mangsa,” kata pihak pendakwa kepada mahkamah pada Isnin.
“Namun dakwaannya tidak selari sepenuhnya dengan fakta,” tambah mereka, menuduh wanita itu merancang jenayah tersebut “secara terperinci”.
Rakan subahatnya telah mengugut Son sebanyak 15 kali untuk mendapatkan wang itu, dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana cubaan memeras ugut.
Apabila wanita dan teman lelakinya itu menuntut lebih banyak wang tahun ini, Son telah membuat laporan kepada polis.
Hakim berkata wanita itu dan rakan subahatnya telah menyalahgunakan status selebriti Son untuk melakukan jenayah tersebut, dan Son dilaporkan mengalami “tekanan mental yang teruk” selepas kes itu didedahkan di media.
Pada Oktober lalu, Son dinamakan sebagai pemain bola sepak kedua bergaji tertinggi dalam Major League Soccer (MLS), liga bola sepak utama di Amerika Utara yang setaraf dengan Premier League England.
Pada Ogos, pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan Tottenham selepas 10 tahun beraksi untuk menyertai Los Angeles Football Club, menandakan perpindahan termahal dalam sejarah MLS.
Dianggap sebagai salah seorang bintang bola sepak terbaik Asia, Son menikmati populariti yang sangat besar di negaranya dan di rantau ini.
Pada 2022, ketika masih bersama Spurs, dia menjadi pemain Asia pertama yang memenangi anugerah kasut emas Premier League yang diberikan setiap tahun kepada penjaring terbanyak liga.