Nama bekas pemain ragbi Samoa, Willie Isa dikaitkan dengan Chelsea selepas kelab itu semakin menunjukkan peningkatan prestasi dalam semua kejohanan disertai.

Pada 10 aksi terakhir English Premier League (EPL) musim lalu, skuad kendalian Enzo Maresca itu mencatatkan enam kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan sekali gus kelab itu berjaya mengesahkan slot ke UEFA Champions League (UCL) 2025/26.

The Blues kemudiannya muncul juara UEFA Conference League dengan menundukkan Real Betis 4-1 pada perlawanan akhir dengan kemuncaknya pada Isnin lalu apabila Chelsea menjulang Piala Dunia Kelab FIFA 2025.

Selain daripada taktikal baik dari Maresca, terdapat elemen lain yang membuatkan semangat juang barisan pemain Chelsea pada ketika ini berada di tahap optimum.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran Willie Isa selaku Pegawai Sokongan dan Pembangunan Pemain pada Februari lalu cukup membantu pasukan.

Willie Isa
Kredit Foto: Instagram Willie Isa

Apa Peranan Penting Dimainkan Willie Isa

Walaupun peranannya tidak begitu diketahui oleh para peminat, sumbangannya cukup signifikan dalam memperbaiki budaya, mentaliti dan prestasi pemain di kelab tersebut.

Perkara itu turut diakui sendiri bekas jurulatih Isa iaitu Matt Peet yang mengatakan bekas bintang Wigan Warriors bukanlah akan membuatkan fizikal pemain Chelsea menjadi ‘sado’ tetapi beliau akan berperanan dalam menjadikan persekitaran dan semua individu di Chelsea menjadi lebih baik.

Daripada pengalaman peribadi ketika bersaing dalam pasukan ragbi nombor satu di Wigan, Isa membawa nilai ketahanan, semangat juang, dan ‘mindset’ kemenangan ke latihan dan bilik persalinan Chelsea.

Bersama Chelsea, Willie Isa memainkan peranan secara holistik dalam memberikan fokus kepada semua pemain secara individu.

Beliau bukan sekadar bertindak selaku motivator tetapi memantau dan menyelaraskan rutin latihan dan perlawanan serta mengadakan sesi perbincangan secara individu dan kumpulan.

Selain itu Isa turun merancang aktiviti pembinaan pasukan dalam mengeratkan lagi ‘bonding’ sesama pemain serta memberikan tumpuan kepada kebajikan mental dan sosial pemain.

Willie Isa
Kredit Foto: Instagram Willie Isa

Isa juga dikatakan akrab dan banyak membantu pemain muda dalam membina disiplin dan ketahanan mental.

Beliau pernah bekerja rapat dengan bakat‑bakat bawah umur di Widnes Vikings dalam memberi panduan tentang etika profesional serta cabaran dalam sukan ragbi.

Jadi perkara itu diteruskannya ketika menjawat tugasan di Chelsea.

Walaupun Willie Isa tidak turun ke padang seperti jurulatih, kehadirannya sebagai ‘pengaruh budaya dan mental’ telah membantu membentuk semula atmosfera dalaman Chelsea ke arah lebih baik.

Ia membuktikan bagaimana pendekatan luar bidang (seperti ragbi) boleh memberi nilai besar jika digunakan dengan tepat dalam apa sahaja sukan sekalipim khususnya dalam membina karakter, disiplin dan semangat juang dalam pasukan.