Perjalanan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam siri Final Jelajah Dunia (World Tour Finals) 2023 bermula dengan langkah kiri apabila mereka tewas pada aksi pembukaan yang berlangsung di Hangzhou, China sebentar tadi.

Lawan yang menjadi masalah kepada pasangan nombor satu negara ini ialah wakil dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Baca Juga:

Meskipun berada di ranking lebih baik berbanding Hoki dan Kobayashi, rekod pertemuan kedua-dua gandingan bagaimanapun jelas tidak memihak Aaron-Wooi Yik.

Aaron dan Wooi Yik tewas lima perlawanan berturut-turut sebelum ini dan seperti dijangka pertemuan kesembilan mereka pastinya sukar.

Ia jelas dibuktikan apabila pasangan ranking ketujuh dunia itu mempamerkan aksi agresif untuk mendominasi set pertama dengan kemenangan 21-16.

Beberapa kesilapan mudah seperti servis yang dibatalkan serta pendek kerap kali dilakukan pasangan negara itu pada set pertama.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampil dengan corak permainan lebih tersusun sekali gus memenangi set kedua 21-14 untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Bermula dengan baik mendahului 5-1 pada permulaan set ketiga, Aaron-Wooi Yik kemudiannya hilang fokus hingga membolehkan Hoki-Kobayashi bangkit mengejar 6-5.

Aksi saling kejar-mengejar mata dipamerkan selepas rehat ‘interval’ dan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi lebih tenang menyerap tekanan untuk mengesahkan kemenangan 21-18.

Dengan tewasnya mereka pada aksi pembukaan ini, Aaron-Wooi Yik tiada pilihan lain untuk menang pada baki dua aksi selepas ini bertemu Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.

Sementara itu satu lagi wakil negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan turun beraksi malam ini menentang wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.