Pasangan sedang meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sensasi apabila berjaya mengejutkan gandingan ranking kedua dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino pada aksi kedua Final Jelajah Dunia (World Tour Finals) 2023, sebentar tadi.
Selepas tewas pada aksi pertama berdepan Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping semalam, Tang Jie-Ee Wei berdepan satu lagi cabaran sukar pada perlawanan yang berlangsung di Hangzhou, China itu.

Baca Juga:
- World Tour Finals 2023: Aaron-Wooi Yik Tewas Buat Kali Kedua
- World Tour Finals 2023: Aaron-Wooi Yik Tewas Aksi Pembukaan
- Aaron-Wooi Yik, Tang Jie-Ee Wei Galas Cabaran Negara Di World Tour Finals 2023
Ia jelas dibuktikan apabila mereka kelihatan cukup bergelut pada set pertama untuk bertemu wakil daripada Jepun tersebut.
Malah, gandingan negara yang berada dikedudukan kelapan dunia itu tewas mudah 12-21 pada set pertama.
Bagaikan mendapat tonik berguna pada waktu rehat, anak didik Nova Widianto itu bangkit dengan aksi lebih tersusun dan tenang menyerap tekanan.
Mereka bermula baik dengan mendahului 7-4 tetapi kemudiannya Watanabe dan Highasino mengejar kedudukan untuk mendahului 11-10.
Tidak mahu lawan terus melebarkan jarak mata, Tang Jie dan Ee Wei mengekori rapat sehingga kedudukan terikat 16-16.
Corak permainan agresif yang ditampilkan memaksa lawan tersebut melakukan kesilapan dan ia membuahkan hasil untuk Tang Jie-Ee Wei memenangi set kedua 21-16.
Berjaya mengheret lawan ke set penentuan jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Tang Jie-Ee Wei yang kemudiannya langsung tidak memandang ke belakang bagi mengesahkan kemenangan dengan mata 21-16.
Ia merupakan kemenangan sulung dilakarkan oleh Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ditangan Yuta Watanabe-Arisa Higashino selepas mengharungi tiga perlawanan.
Halangan terakhir yang perlu dihadapi Tang Jie-Ee Wei di peringkat kumpulan ialah pasangan Thailand, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Sekiranya berjaya mencatatkan kemenangan, gandingan negara itu memiliki peluang besar untuk mara ke separuh akhir.