Xavi Hernandez membuat kemunculan semula mengejutkan selepas dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Belanda bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronald Koeman.
Ini merupakan tugasan pertama Xavi selepas meninggalkan Barcelona pada April 2024.
Pengendali berusia 46 tahun itu menandatangani kontrak selama empat tahun untuk menggantikan Koeman. Pengendali sama yang digantikannya sewaktu mula membimbing Barcelona.
Xavi menjadi jurulatih bukan berasal dari Belanda yang pertama mengendalikan pasukan kebangsaan itu sejak 1978. Namun, beliau dijangka akan tetap menerapkan prinsip ‘Total Football’ yang sudah sebati dengannya sejak menimba ilmu di akademi La Masia, Barcelona.
Namun, selain gaya permainan yang sudah jelas menjadi identitinya, Xavi juga terkenal sebagai seorang pengurus yang tegas dalam soal disiplin dan memastikan para pemainnya sentiasa mematuhi peraturan.
Menurut sumber laporan Sport Bible, Xavi sebelum ini pernah memperkenalkan peraturan baharu sewaktu mengendalikan skuad Barcelona.
Antara peraturan utama ialah pemain perlu tiba 90 minit lebih awal sebelum sesi latihan, manakala barisan staf kejurulatihan pula diwajibkan hadir lebih awal daripada para pemain.
Xavi turut mengarahkan semua pemain untuk makan di pusat latihan bagi membolehkannya memantau pemakanan mereka dengan lebih dekat. Sebelum itu, pemain dibenarkan makan di tempat lain.
Denda juga diperkenalkan dan akan digandakan bagi kesalahan berulang, selain peraturan berkurung pada tengah malam yang dikuatkuasakan dua hari sebelum setiap perlawanan.
Tabiat pemain di luar padang turut menjadi perhatian utama. Antara peraturan pelik yang diperkenalkan ialah larangan melakukan aktiviti yang dianggap ‘berisiko’. Di bawah arahan itu, pemain dilarang meluncur air atau menunggang basikal elektrik dan pelanggaran peraturan tersebut boleh dianggap sebagai ‘pelanggaran kontrak secara terang-terangan’.
Xavi Berbesar Hati Dapat Bersama Belanda
“Saya menganggapnya sebagai satu penghormatan yang luar biasa untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda,” kata Xavi selepas dilantik sebagai pengurus baharu.
“Sebagai seseorang yang mendapat pendidikan di akademi Barca, dengan pengaruh kuat daripada Johan Cruyff dan Rinus Michels, antara lainnya, saya mempunyai hubungan istimewa dengan bola sepak Belanda.”
“Boleh dikatakan saya sebahagiannya adalah anak kepada bola sepak Belanda. Jurulatih hebat lain, khususnya Louis van Gaal, yang memberi saya peluang membuat penampilan sulung bersama Barca, serta Frank Rijkaard, turut memainkan peranan penting dalam membentuk diri saya sebagai pemain dan jurulatih.”
Beliau turut menyifatkan Belanda sebagai pasukan yang ‘memiliki budaya bola sepak yang kaya serta visi yang jelas.’
Aksi pertamanya sebagai pengurus akan berlangsung bulan depan apabila Belanda berdepan Jerman pada 24 September, sebelum mereka menentang Serbia dan Greece dalam aksi UEFA Nations Cup.